Saturday, August 5, 2017

PAS tak tahu mengenai undangan kepada Zahid

Minderjeet Kaur

Tuan Ibrahim Tuan Man kata PAS memang mengajak semua orang, termasuk ahli Umno, sertai mereka.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak tahu mengenai undangan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menyertai mereka 20 tahun dulu.

Beliau berkata parti Islam itu sememangnya mengajak semua ahli Umno dan sesiapa sahaja yang layak menyertai mereka.

“Saya tak tahu siapa yang tawarkan pada dia. Saya pun tahu dia merujuk kepada siapa tetapi memang kita ajak semua orang untuk bersama-sama dengan PAS,” katanya.

“Kita harap semua orang kalau boleh sertai PAS. Kalau Umno boleh join PAS terbaiklah,” katanya kepada FMT hari ini.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, hari ini mendakwa beliau ditawarkan menyertai PAS selepas beliau meletak jawatan ketua pemuda Umno, susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan pada 1998.

“Saya didekati pemimpin PAS minta saya tinggalkan Umno dan tawarkan diri kepada PAS. Rakan-rakan dari PAS katakan cukuplah waktu saya bersama Umno,” kata pemangku timbalan presiden Umno itu.

Zahid berkata beliau mendapatkan nasihat dari Datuk Dr Haron Din, yang pada ketika itu ketua penerangan PAS, yang meminta beliau kekal dan menyumbang kepada Umno.

Beliau menambah semasa beliau menjadi ketua pemuda Umno pada 1990-an, presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyukainya dan cuba mencari jalan menyingkir beliau dari jawatan itu.

Tuan Ibrahim berkata Malaysia mengamalkan demokrasi di mana semua orang berhak pilih untuk sertai mana-mana parti politik.

“Bagi saya, tindakan Zahid kekal dalam Umno itu pilihan peribadi dia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-