Sunday, August 13, 2017

Pemuda Umno: Tunggu siasatan selesai, jangan tuding jari

FMT Reporters
August 13, 2017

Ketua Pemuda Umno itu mengecam keganasan yang berlaku pada forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Pemuda PPBM di Shah Alam, petang tadi.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menasihatkan semua pihak tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebelum polis selesai menyiasat keganasan yang berlaku pada forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Pemuda PPBM petang tadi.

“Apa yang berlaku pada #Nothing2Hide perlu dikecam dan tidak boleh dibiarkan. Harap polis tangkap mereka yang bertanggungjawab.

“Saya mengecam apa yang berlaku, tetapi tunggu polis menyelesaikan siasatan sebelum anda mula tuding jari,” tulis menteri belia dan sukan itu di Twitternya.

Forum Nothing to Hide 2.0 yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, bertukar kecoh kira-kira 5.30 petang tadi ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985 semasa beliau menjadi perdana menteri.

Pengerusi PPBM itu berkata, tragedi Memali diisytiharkan darurat kerana ia adalah prosedur operasi standard polis apabila 4 anggota polis turut terbunuh dalam kejadian itu.

Sebelum beliau selesai menjawab soalan itu, ada individu mula membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar serta melontar ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri.

Dewan Raja Muda Musa dipenuhi asap dan insiden tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke atas pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu. Dr Mahathir tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat mengesahkan 3 suspek berusia 17 hingga 19 tahun, termasuk 2 pelajar kolej swasta ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun turut sependapat dengan Khairy yang tindakan menuding jari tanpa sebarang bukti hanya mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Apa yang berlaku pada #nothing2hide mengejutkan. Tetapi, ia mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan jika kita mula menuding jari tanpa bukti,” tulisnya di Twitternya.

Beliau juga menggesa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali supaya tidak berfikiran sempit dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap Umno.

Beliau merujuk dakwaan menteri besar Selangor itu terhadap Datuk Seri Najib Razak menggunakan gangsterisme untuk menutup mulut Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Setelah takut berhujah, Najib menggunakan gangsterisme untuk menutup mulut @chedetofficial. Najib pasti gagal.

“Najib tidak boleh sembunyi di belakang kasut, kerusi atau suar atau ancaman keganasan. Hadapi hakikat jika tiada apa untuk disembunyikan,” demikian kenyataan Azmin di sosial medianya.

Khairul menjawab tuduhan Azmin dengan berkata: “YAB, saya tahu anda seorang lelaki bijak untuk membuat dakwaan tidak berasas.

“YAB, takkanlah mudah sungguh kesimpulannya. Harapan anda untuk melihat kami gagal difahami. Tetapi dakwaan anda tidak berasas.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-