Friday, August 4, 2017

PKR, DAP tak setuju SJK dituduh halang perpaduan

Khairil Ashraf
August 4, 2017

Masalah utama memupuk perpaduan lahir daripada segelintir pemimpin politik yang mengapi-apikan kebencian kaum, sebuah forum TN50 diberitahu.
S
SHAH ALAM: Isu sekolah jenis kebangsaan (SJK) menyaksikan perbezaan pendapat antara pemimpin muda dari Pakatan Harapan dan Umno pada sebuah forum Transformasi Nasional 2050 (TN50) malam tadi, di mana PKR dan DAP tidak bersetuju dengan cadangan agar sekolah aliran itu dihapuskan dan dituduh menyemai perkauman dan menghalang perpaduan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dari DAP berkata masalah utama dalam memupuk perpaduan kaum di negara ini bukan disebabkan sekolah vernakular, tetapi segelintir pemimpin politik yang mengapi-apikan kebencian kaum.

“Masalah itu yang perlu diselesaikan,” katanya yang menjadi sebahagian panel Program TN50 Kluster Politik: Iklim Politik Negara menuju 2050, di sini malam tadi.

Steven berkata, beliau tidak melihat sekolah aliran Cina dan Tamil mahupun sekolah agama menghalang usaha memupuk perpaduan.

“Masalah utama perpaduan kaum di negara kita bukan soal sekolah,” katanya.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut menolak cadangan supaya sistem pendidikan sekolah satu aliran diwujudkan.

Bagi Afif, masalah perpaduan bukan disebabkan silibus pelajaran di sekolah atau perbezaan sekolah aliran, tetapi disebabkan bahasa.

“Yang saya nak cadangkan adalah sepatutnya satu mata pelajaran diajar kepada semua anak-anak kita, iaitu mata pelajaran perpaduan.

“Tak kenal maka tak cinta. Apa salahnya kita perbanyakkan program anak Melayu dihantar untuk duduk bersama dengan keluarga angkat Cina atau India? Anak Cina dihantar duduk bersama dengan keluarga angkat Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata beliau secara peribadi menyokong agar negara ini mengamalkan konsep sekolah satu aliran.

“Saya menyokong kerana bagi saya kalau kita nak capai perpaduan yang paling awal, paling penting adalah pergaulan sewaktu muda atau kecil,” katanya.

Shahril mencadangkan satu aliran sekolah kebangsaan di mana semua anak muda berada dalam satu sekolah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-