Monday, August 14, 2017

Selepas forum PPBM diserang, PAS seru 'politik matang'

Faiz Zainudin 
August 14, 2017

Pemimpin PAS turut berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.

PETALING JAYA: Pemimpin PAS hari ini melahirkan kekesalan dengan insiden serangan di sebuah forum anjuran Pemuda PPBM di Shah Alam semalam ketika Tun Dr Mahathir Mohamad berucap, sambil berkata ia menunjukkan kepentingan “politik matang”, slogan yang kerap digunakan parti itu.

“PAS mengajak seluruh pimpinan politik dan rakyat agar melakukan perubahan pendekatan politik yang lebih matang, selaras dengan perkembangan dan kemajuan negara,” kata Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Politik cerca, maki hamun, fitnah dan provokasi sangat tidak sesuai dengan budaya dan iklim masyarakat Malaysia kini,” katanya sambil menambah hak bersuara dijamin Perlembagaan Negara.

Beliau turut mendesak siasatan rapi dijalankan untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

PAS bukan merupakan sebahagian Pakatan Harapan, gabungan pembangkang yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Sebaliknya, parti itu menganjurkan sebuah lagi blok dinamakan Gagasan Sejahtera.

Parti Islam itu juga sejak kebelakangan ini dikritik pembangkang lain atas hubungan lebih mesra dengan Umno, yang menurutnya adalah sebahagian daripada apa yang dinamakan “politik matang dan sejahtera”.

Semalam, kekecohan tercetus di forum “Nothing to Hide” selepas beberapa objek termasuk suar dan kasut dibaling ke arah pentas, kurang 2 jam selepas forum bermula.

Ia menyebabkan aksi baling kerusi dan pergaduhan melibatkan penyokong PPBM dan beberapa remaja yang dituduh mencetuskan huru hara.

Polis menahan 3 remaja yang diberkas penganjur, dan kecederaan ringan melibatkan beberapa hadirin dilaporkan.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz turut menyatakan kekesalan, dan berkata semua pihak perlu bertindak rasional sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu perkara.

“Ia kejadian yang dikesalkan, walaupun saya tidak tahu cerita sebenar,” kata ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu kepada FMT.

“Saya harap pihak polis dapat menyiasat dan bertindak cepat dan dengan profesional.”

Nik Abduh turut menyeru ke arah “politik matang dan sejahtera”.

“PAS yakin rakyat akan lebih selamat dan bersedia melakukan perubahan dalam negara melalui politik matang dan sejahtera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-