Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, August 4, 2017

Tun Mahathir perjelas skandal forex

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 OGOS 2017

Tun Dr Mahathir Mohamad
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerugian Bank Negara dalam urus niaga pertukaran mata wang asing (forex) pada era pentadbirannya berpunca daripada kegagalan melihat kesan Perjanjian Maastricht.

Beliau berkata, perkara itu mendorong kepada pembentukan Kesatuan Eropah dan pengenalan mata wang tunggal.

“Bank Negara memutuskan bahawa sebahagian daripada pengurusan rizab negara, termasuk perdagangan matang wang, dapat mengekalkan jumlah rizab.

“Sudah tentu, dagangan mata wang adalah perniagaan yang sangat menguntungkan. Banyak dana lindung nilai berdagang mata wang.

“Tetapi ia juga ada risiko. Kamu boleh untung dan kamu boleh rugi. Dan itu yang terjadi apabila mereka gagal jangkakan keputusan Perjanjian Maastricht.

“Dan mereka kalah dalam pertaruhan. Bagaimana mereka rugi? Saya tidak tahu.

“Saya diberitahu mereka berdagang mata wang tetapi saya tidak dimaklumkan maklumat terperinci,” katanya dipetik dalam wawancara portal berita, The Malaysian Insight, semalam.

Mahathir berkata, Bank Negara kemudian menyerahkan laporan kepada Parlimen berkaitan kerugiannya.

“Itulah sahaja yang kerajaan tahu,” ujarnya.

Perjanjian Maastricht ditandatangani pada 7 Februari 1992.

Jelasnya, urus niaga mata wang adalah perniagaan yang bergerak pantas dan Bank Negara sendiri bangga dengan kemahiran mereka.

“Mereka buka pejabat di London dan saya diundang buka bilik perdagangan. Tetapi selain itu saya tidak tahu.

“Dan akhirnya mereka rugi wang. Bila rugi, kerajaan putuskan tutup, berhentikan semua urus niaga,” katanya.

Mahathir berkata, beliau tidak ingat jumlah sebenar kerugian itu, tetapi dimaklumkan dalam lingkungan RM10 bilion.

Awal Februari lalu, bekas penolong gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan bank pusat itu mengalami kerugian AS$10 bilion (RM44 bilion) dalam urus niaga perdagangan mata wang pada awal 90-an.

Kabinet bersetuju dengan syor pasukan petugas khas (PPK) yang mengesyorkan terdapat keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membolehkan siasatan mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jun lalu.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mengesahkan siasatan awal PPK mendapati jumlah kerugian adalah lebih besar daripada apa yang telah dilaporkan.

Difahamkan terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan jemaah menteri dan Parlimen.