Saturday, August 12, 2017

Walau tak dapat undi, saya dapat pahala di akhirat, kata Najib

Bernama

Najib Razak berkata, kerajaan pusat tidak pernah 'mendera' negeri pembangkang dan sebagai ketua kerajaan, beliau tidak boleh menyimpan dendam walaupun BN gagal memerintah negeri itu.
JELI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah “mendera” negeri ditadbir pembangkang, terutama Kelantan.

Katanya, sebagai perdana menteri dan ketua kerajaan, beliau tidak boleh menyimpan dendam walaupun BN gagal memerintah negeri berkenaan.

“Sebagai pemimpin, saya perlu berlaku adil kepada rakyat, sama ada mereka menyokong BN ataupun tidak.

“Sekurang-kurangnya walaupun tak dapat undi, saya dapat pahala di akhirat. Semoga dengan usaha ini kita dapat majukan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Jeli dan perasmian bangunan tambahan Hospital Jeli, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga ahli Parlimen Jeli, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Yahaya Mamat.

Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia terus menyediakan perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia dengan peruntukan subsidi tinggi setiap tahun.

“Tahun ini kita belanjakan RM22 bilion (untuk penjagaan kesihatan awam) tapi kita hanya kutip RM700 juta sahaja (setakat ini)… satu peruntukan subsidi yang besar.

“Umpamanya, kita hanya bayar RM1 untuk dapatkan pelbagai jenis ubat-ubatan, manakala RM5 dikenakan untuk berjumpa doktor pakar dan caj RM50 jika bersalin di hospital kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Kelantan akan terus mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik apabila Hospital Bachok dan Hospital Kuala Krai siap dalam masa terdekat, sekali gus menjadikan semua 10 jajahan di negeri itu mempunyai hospital masing-masing.

Sementara itu, bangunan tambahan baharu di Hospital Jeli yang bernilai RM57 juta tersebut membolehkan hospital berkenaan menyediakan kemudahan kesihatan lebih baik, moden dan lengkap kepada 47,000 penduduk di jajahan berkenaan.

Bangunan tambahan itu yang siap dibina tahun lepas menyediakan tambahan 56 katil, menjadikan jumlah keseluruhan katil di Hospital Jeli sebanyak 80 katil.

Perkhidmatan lain termasuk tambahan 2 lagi wad, menjadikan 4 wad keseluruhan, 2 dewan bedah, kemudahan rawatan dan diagnostik, unit patologi dan tabung darah, unit sokongan steril pusat, rekod perubatan lengkap dengan kemudahan teknologi maklumat, selain pertambahan 80 lot tempat letak kenderaan untuk kemudahan orang ramai.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-