Wednesday, September 20, 2017

Gelar pembangkang hipokrit, Mat Taib dikecam pengguna media sosial

Amin Iskandar
Muhammad Muhammad Taib dalam satu sidang media khas yang diadakan di PWTC diumumkan kembali menyertai Umno oleh Presiden Umno Najib Razak. Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2017.

MUHAMMAD Muhammad Taib yang baru sahaja kembali kepada Umno pada Ahad membuat komen pendek menjawab kritikan terhadapnya kerana meninggalkan PKR.

Menulis di laman media sosial Facebook miliknya, bekas menteri besar Selangor itu yang dikenali sebagai Mat Taib berkata, pemimpin pembangkang “hipokrit”.

“Bila bersama mereka saya hero. Sekarang semua lain. Hipokrit. Hipokrit,” tulis Muhammad secara ringkas hari ini.

Dalam satu sidang media pada Ahad, Presiden Umno Najib Razak mengumumkan Muhammad yang sebelum ini merupakan anggota PKR kembali menyertai parti Melayu itu.

Posting Muhammad di Facebook dikecam pengguna laman media sosial terkenal itu.

Pengguna Facebook Zakariya Abdul membalas ringkas: “Katak”.

Sementara Hasnul Hadi mempersoalkan: “Dapat projek tak?”

“Cukup-cukuplah Tan Sri..masa kamu sudah berlalu,” tulis Mohd Mokhtar.

“Tan Sri orang lama dalam politik. Tapi sayang lompat sana sini akhirnya ke asal semula.

“Apa yang Tan Sri perjuangkan sebenarnya mengikut kehendak cita rasa Tan Sri sendiri. Bukankah itu hipokrit namanya?” soal Mik Jowo Perak.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Muhammad mengumumkan menyertai PAS untuk membantu pembangkang menawan Putrajaya.

Dua tahun kemudian pada 2015, Muhammad meninggalkan PAS dan mengambil keputusan menyertai PKR selepas berlaku perpecahan terbesar dalam parti Islam itu sehingga tertubuhnya Amanah. 

Pada Ahad, pemerhati politik, media dan ahli politik di kedua-dua pihak membaut pelbagai andaian berhubung perkara ang bakal Najib umumkan. Bagaimanapun ia kemudiannya menjadi anti-klimaks apabila hanya mengumumkan kembalinya Muhammad kepada Umno. 

Muhammad berkata beliau meninggalkan PKR kerana parti itu tidak pernah membincangkan tentang agenda Melayu. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa terdapat lapan ahli dewan undangan negeri (ADUN) PKR dalam kerajaan Selangor sepatutnya me;ompat parti dengan Muhammad untuk menjadikan negeri itu di bawah pemerintahan BN. 

Untuk merealisasikan rancangan itu - sama dengan krisis yang berlaku di Perak pada 2009 - lapan wakil PKR dan semua 13 wakil PAS dan seorang calon bebas Khalid Ibrahim yang merupakan ADUN Pelabuhan Klang perlu berpihak kepada BN. Bn kini mempunyai 12 kerusi daripada 56 kerusi di Selangor.

Namun semua wakil PAS dan PKR menafikan terdapat rancangan seperti itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-