Tuesday, September 26, 2017

GST diramal kekal enam peratus

ONG BOON TECK
26 SEPTEMBER 2017
CUKAI barang dan perkhidmatan (GST) dijangka kekal sebanyak enam peratus dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bulan hadapan.

Menurut pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan, memandangkan PRU14 semakin dekat, sudah pasti kerajaan tidak ingin membebankan rakyat, sebaliknya kemungkinan akan membawa khabar gembira dengan menyediakan bajet yang bersifat mesra rakyat.

"Saya yakin dalam Bajet 2018, kerajaan tidak akan menaikkan GST malahan kemungkinan akan menambahkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Golongan pertengahan diramalkan akan menjadi golongan yang paling banyak mendapat faedah daripada bajet kali ini. Saya percaya cukai pendapatan terhadap golongan pertengahan akan dikurangkan manakala golongan mewah akan terus dikenakan cukai yang tinggi," kata Tia Guan kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group memberitahu, demi mengembangkan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan dijangka akan terus menambahkan jumlah peruntukan pada tahun hadapan.

"Dengan menambah peruntukan pembangunan ini, negara kita tidak mungkin akan mencapai bajet seimbang pada tahun 2020. Bajet defisit dijangka kekal pada tiga peratus," katanya yang turut dilantik sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berpendapat, masalah utama yang dihadapi kerajaan ketika ini jumlah kakitangan yang terlalu ramai sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan sebahagian besar perbelanjaan ke atas bajet pengurusan.

"Pada bajet tahun ini, 82 peratus daripadanya diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan pengurusan dan selebihnya untuk pembangunan.

"Daripada sejumlah perbelanjaan pengurusan ini, dua pertiganya telah digunakan untuk pembayaran gaji dan pencen kakitangan awam. Inilah masalah yang perlu dipandang serius oleh kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-