Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, October 18, 2017

'Kenapa perlu utamakan pekerja asing?'

NURUL KHALEEDA RASHIKIN
18 OKTOBER 2017
Akmal Nasir
SHAH ALAM - Kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan permohonan pengambilan 100 peratus pekerja asing dalam sektor pembuatan dilihat sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.

Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir mempersoalkan tindakan tersebut memandangkan bilangan pekerja asing di negara ini sudah terlalu banyak jumlahnya.

"Sebelum ini, Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi umum nak bawa masuk 1.5 juta pekerja asing ke Malaysia, adakah ia akan bertambah bilangannya?

"Ketika ini, nisbah bilangan pekerja tempatan dan pekerja asing adalah 1:3 bagi semua sektor dan bahagian termasuk bidang pembuatan yang mengeksport produk masing-masing ke luar negara.

"Jika semuanya (100 peratus) adalah pekerja asing nisbah pekerja tempatan dan pekerja asing adalah 0:3. Bagaimana dengan nasib pekerja tempatan?" soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan pengambilan 100 peratus pekerja asing dalam sektor pembuatan bagi memenuhi keperluan pengilang di bahagian pengeluaran produk.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pertimbang 100 peratus pekerja asing

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bagaimanapun polisi itu terhad kepada pengilang sektor pembuatan yang mengeksport produk masing-masing ke luar negara.

Akmal mempersoalkan nasib graduan tempatan jika pekerja asing berterusan memonopoli pekerjaan di Malaysia.

"Sudah terlalu banyak rungutan daripada ribuan lepasan graduan di dalam negara ini masih menganggur dan berhempas pulas mencari pekerjaan tetapi kenapa pekerja asing harus diutamakan?

"Lebih malang lagi, adakah suatu masa nanti kesemua sektor akan dimonopoli oleh pekerja asing? Pada mulanya mereka masuk bekerja mengikut sektor, namun apabila sudah lama berada di dalam negara ini, mereka akan lari dan mula mencari kerja yang bergaji mahal ataupun memulakan perniagaan," katanya.

Beliau berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya melihat kepentingan rakyat ini sebagai keutamaan dalam pengambilan pekerja asing di samping keperluan terhadap golongan ini bagi memajukan industri-industri tertentu di negara ini.

"Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk pengambilan pekerja asing ini yang terlampau ramai kerana banyak kesan negatifnya dan sepatutnya beri peluang mendahulukan kepada anak tempatan.

"Janganlah seperti kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan," katanya.