Sunday, October 22, 2017

Shafie masuk lokap tak mahu dituduh buat-buat sakit

Radzi Razak, Jason Santos
Presiden Warisan Shafie Apdal menghidap penyakit darah tinggi sejak beberapa tahun lalu, tetapi memilih untuk masuk lokap kerana tidak mahu dituduh berpura-pura sakit untuk elak disiasat.Gambar The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2017.

PRESIDEN Parti Warisan Sabah Shafie Apdal setuju untuk ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak mahu dituduh pura-pura sakit untuk mengelak siasatan, kata peguamnya.

Loretto Padua Jr yang menemani Shafie dari Hospital Queen Elizabeth hingga ke lokap SPRM petang tadi menyatakan Shafie bagaimanapun memastikan beliau menerima rawatan awal kerana tidak mahu “mati” dalam tahanan.

“Dia (Shafie Apdal) tidak mahu cakap-cakap belakang lagi kata dia buat-buat sakit tak mahu reman.

“Dia kata, ‘ya biar saja saya masuk dalam kerana saya tidak mahu mati. I am doing this for my country (Saya lakukan ini untuk negara saya)’” kata Loretto yang juga merupakan setiausaha agung Warisan.

Loretto berkata demikian di hadapan kira-kira 100 penyokong dan ahli parti Warisan yang menghadiri “candlelight vigil” di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada Sabtu Malam.

Menurut beliau Shafie dikesan mempunyai tekanan darah yang amat tinggi selepas diperiksa oleh doktor di Hospital Queen Elizabeth susulan penangkapan beliau.

“Selepas berehat sejam, tekanan darah dia (Shafie) ialah 198/120. Amat abnormal,” kata beliau.

Sementara itu seorang lagi individu antara yang terakhir menemui Shafie di ibu pejabat SPRM Sabah turut meluahkan rasa risau dengan kesihatan Shafie.

“Datuk (Shafie) ada hypertension dan tekanan darah tinggi.

“Hypertension itu bukanlah baru tapi kami mengetahuinya kira-kira dua tahun lalu”, katanya yang menunjukkan gambar beberapa ubat darah tinggi yang dibekalkan hospital kepada Shafie.

Beliau yang tidak mahu dinamakan menemui Shafie kira-kira jam 8.45 malam tadi dan turut memeriksa tekanan darahnya.

Beliau turut menambah Shafie nampak tenang dan tidak menjawab soalan daripada pegawai SPRM.

Dalam pada itu The Malaysian Insight turut difahamkan beliau disoal-siasat oleh pegawai SPRM daripada Putrajaya, bukannya dari pejabat negeri. 

Kira-kira 100 penyokong parti dan pemimpin Warisan menghadiri acara yang bermula jam 9.30 malam tadi.

Mereka memasang ratusan lilin di seberang bangunan yang menempatkan Pejabat SPRM Sabah dan lokap yang menempatkan Shafie, adiknya Yusof dan seorang lagi ahli Warisan Amarjit Singh.

Semua mereka ditahan SPRM dalam siasatan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan bagi tujuan pembangunan projek rakyat di Sabah.

Shafie ditahan pada malam 19 Oktober lalu dan diperintah reman selama empat hari pada Jumaat.

Himpunan itu ditamatkan kira-kira jam 10.45 malam dengan hadirin menyanyikan lagu negeri, Sabah Tanah Airku. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-