Tuesday, October 17, 2017

Zamihan akur, patuh titah Sultan Selangor

By Ainul Asniera Ahsan
17 Oktober 2017

Zamihan Mat Zain al-Ghari

KUALA LUMPUR – Dr Zamihan Mat Zin akur dan patuh dengan keputusan dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menarik balik tauliah mengajar dan membatalkan keahliannya sebagai Jawatankuasa Tauliah negeri itu.

Sebagai rakyat biasa yang menjunjung tinggi institusi diraja, beliau memohon maaf kepada Sultan Selangor jika tutur katanya semasa menyampaikan ceramah agama menguris hati.

“Sesungguhnya saya selaku rakyat biasa tiada niat untuk menghina institusi diraja melainkan hanya tanggungjawab menyebarkan syiar Islam.

“Saya menghormati keputusan Tuanku Sultan dan baginda mempunyai hak serta berhak untuk membuat keputusan tersebut sebagai waliyyul amri ataupun seorang pemerintah,” kata Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) dalam satu kenyataan di sini.

Zamihan berkata, beliau hanya mencurahkan khidmat untuk agama dan ummah dan sekiranya khidmat sudah tidak diperlukan, dia menghormati keputusan tersebut.

Bagaimanapun, Zamihan berkata, beliau akan akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai kerana perjuangan atau pun dakwah Islam tidak pernah terhenti.

Dalam kenyataan itu, Zamihan turut menyeru agar semua pihak menghentikan adu domba dan sikap melaga-lagakan sesama umat Islam.

“Ada baiknya kita semua fokus kepada menolak ancaman dan tipu daya golongan yang benci kepada agama Islam dan umat Islam yang sememangnya suka melihat umat Islam bercakaran dan berpecah sesama sendiri,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor menitahkan supaya tauliah Dr. Zamihan Mat Zain ditarik balik dan membatalkan keahlian beliau sebagai Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor.

Titah baginda, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Dewan di-Raja Selangor

Kedua-dua tindakan tersebut adalah di bawah peruntukan Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

 – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-