Monday, November 20, 2017

Hubungan Kelantan dengan kerajaan persekutuan semakin baik

Bernama 
November 20, 2017

Menurut timbalan menteri besar Kelantan, sejak berlakunya banjir 2014 tersebut, kerajaan persekutuan banyak membantu Kelantan sehingga sekarang ini.
KOTA BHARU:  Kerajaan Kelantan mengakui hubungan dengan kerajaan persekutuan semakin baik terutamanya selepas banjir 2014 dengan banyak kesepakatan dicapai oleh kedua-dua pihak untuk kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sejak berlakunya bencana alam tersebut, kerajaan persekutuan banyak membantu Kelantan sehingga sekarang ini.

“Bagaimanapun dalam beberapa isu kita lihat ia perlu diatasi bagi memenuhi semangat Perlembagaan Persekutuan seperti isu royalti minyak yang kini dalam proses mahkamah,” katanya ketika menjawab soalan daripada Azami Md Nor (PAS-Kadok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd Amar berharap hubungan yang bertambah baik antara kerajaan negeri dan persekutuan itu akan mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek seperti pembinaan hospital di Bachok, tebatan banjir Sungai Golok dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hanifa Ahmad pula berkata proses pengambilan balik tanah untuk projek kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi fasa pertama dari Pasir Puteh-Bachok-Kota Bharu sepanjang 40km boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Bagi fasa kedua dari Tunjong ke Pengkalan Kubor, Tumpat sepanjang 28km masih dalam rundingan, katanya ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) yang bertanyakan perkembangan terkini projek ECRL itu.

Hanifa berkata bagi fasa pertama itu ia akan melibatkan 6,000 pemilik tanah manakala bagi fasa kedua kira-kira 3,000 pemilik tanah.

Menjawab soalan tambahan daripada Abdul Rahman, Hanifa berkata selain ECRL tersebut, kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan dan menyegerakan pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) untuk kemudahan rakyat negeri ini.

Sementara itu, ketika ditemui di luar persidangan tersebut, Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata projek ECRL itu yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan akan merancakkan sistem pengangkutan darat serta menarik pelabur ke negeri pantai timur.

Beliau berkata selain mengembangkan ekonomi di negeri-negeri pantai timur, perkhidmatan kereta api tersebut akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat hasil pembangunan yang bakal berlaku.

Namun begitu, beliau berkata kerajaan persekutuan turut mengutamakan pembinaan lebuh raya CSR sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2018 untuk kepentingan rakyat.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut kesal dengan sikap pihak kerajaan negeri yang ”suka berpolitik” dengan saling menyalahkan kerajaan persekutuan sekiranya berlaku kelewatan pelaksanaan sesuatu projek yang dirancang.

Beliau berkata tindakan pihak terbabit tidak adil dan sepatutnya mereka hadapi perkara tersebut dengan penuh kesabaran kerana janji kerajaan persekutuan pasti ditunaikan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-