Wednesday, November 15, 2017

Isu tudung : Tindakan pada majikan diskriminasi

By watan
on November 15, 2017

Kementerian Sumber Manusia memberi amaran tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang didapati melanggar hak serta melakukan diskriminasi kepada pekerja di Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, produktiviti dan prestasi syarikat adalah fokus yang harus diberi keutamaan berbanding isu konsep pemakaian yang kononnya didakwa melanggar etika antarabangsa.

Menurutnya, dalam etika berpakaian dalam kalangan pekerja, selagi mereka tidak memakai pakaian yang melanggar norma budaya, bangsa dan agama ia tidak perlu dipersoalkan oleh majikan apatah lagi dalam isu pemakaian tudung.

“Saya mahu memberi amaran kepada majikan dalam semua sektor samada awam atau swasta, jangan lakukan diskriminasi atau halangan kepada sesiapa yang ingin memakai tudung ke tempat kerja kerana ia langsung tidak melanggar mana-mana Akta Kerja 1955 (Akta 265) atau Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) .

“Utamakan produktiviti dan kemajuan syarikat, janganlah duduk sibuk pasal larangan pakai tudung atau tak,” katanya yang turut menggesa para pekerja melakukan aduan ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekiranya merasa tertindas atau didiskriminasi oleh majikan dalam isu pemakaian tudung.

“Jika ada pekerja wanita yang ditamatkan kerja sebab bertudung, laporkan kepada kita (JTK) dan kita akan siasat majikan tak bertanggungjawab itu.

“Tindakan boleh diambil mengikut Faedah Penamatan kerja dan faedah-faedah lain di bawah Akta Pekerja 1955 (Akta 265) atau representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya di Putrajaya pada Selasa.

Jelasnya lagi, Perlembagaan negara jelas mengenai hak rakyat untuk mengenakan pakaian mengikut kepercayaan agama mereka dan pihak lain kena menghormatinya.

“Jika keadaan diskriminasi ini terjadi ia oleh meresahkan sesama kaum. Jadi perlu adanya persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat untuk kesejahteraan negara,” ujar beliau.

Wartawan Watan-Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-