Tuesday, November 14, 2017

Pekerja muslimah di hotel Pulau Pinang tidak akan dilarang bertudung

oleh RoketKini

GEORGE TOWN, 14 NOV: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan dasar yang melarang pekerja wanita beragama Islam yang ditugaskan di perkhidmatan pelanggan daripada memakai tudung, kata Persatuan Hotel Malaysia (Malaysia) cawangan negeri itu, hari ini.

Presiden MAH Pulau Pinang, Khoo Boo Lim berkata Guan Eng sendiri telah menghubungi beliau bagi menyatakan bantahan yang secara khususnya merujuk kepada kenyataan Presiden MAH, Samuel Cheah Swee Hee berhubung isu itu.

“Ketua Menteri menyatakan kekecewaannya dengan kenyataan tersebut yang dianggapnya bersifat diskriminasi dan penyalahgunaan hak asasi pekerja wanita Islam untuk memakai pakaian pilihan mereka.

“Ketua Menteri juga anggap larangan berbentuk diskriminasi itu tidak ada kaitan dengan prestasi pekerja,” katanya,” kata Boo Lim, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Justeru itu, katanya, wanita Islam yang bekerja di hotel di Pulau Pinang tidak akan dilarang daripada memakai tudung.

“Hotel di Pulau Pinang terbuka dan mengalu-alukan wanita Islam yang bekerja di hotel kami yang ingin memakai tudung,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.

MAH bagaimana pun mempertahankan tindakan larangan tersebut sambil menegaskan ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.

“Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

“Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamofobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” kata presiden MAH, seperti dilaporkan media.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam kenyataan hari ini berkata, beliau bersedia menawarkan bantuan guaman kepada pekerja wanita yang terjejas berikutan dasar larangan tersebut.

“Jika perlu menyelesaikannya di mahkamah, saya bagi pihak DAP, sedia menawarkan bantuan guaman kepada mereka yang terjejas akibat larangan itu.

“Saya sedia membantu jika mereka yang terlibat mahu mencabar kesahihan larangan tersebut di mahkamah,” katanya yang juga peguam dan Timbalan Pengerusi DAP.

 – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-