Sunday, January 14, 2018

Azmin sedia beri laluan Dr M bertanding di Gombak

FMT Reporters
January 13, 2018

Pengaruh PAS dan BN kelihatan hampir setanding di 2 daripada 3 kawasan DUN di bawah Parlimen Gombak.

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi mengumumkan beliau sedia melepaskan kerusi Parlimen Gombak yang dipegangnya sejak 2 penggal lepas kepada calon perdana menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bersedia memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR. Mari membingkai muafakat demi rakyat,” tweet Azmin di Twitter.

Kerusi Gombak antara kerusi yang mempunyai jumlah penyokong PAS dan BN yang ramai. Dua daripada 3 DUN di bawah Parlimen itu dimenangi PAS sejak 2 penggal lalu.

Azmin memenangi Parlimen Gombak sejak 2008. Beliau menumbangkan Datuk Said Anuar Said Ahmad dari Barisan Nasional pada PRU12 dengan majoriti 6,867 undi, dan sekali lagi mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti undi merosot kepada 4,734 undi.

Pengaruh PAS dan BN kelihatan hampir setanding di DUN Gombak Setia dan DUN Hulu Kelang. Wakil rakyat PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan, mempertahankan kerusi Gombak Setia dengan majoriti 1,681 undi, manakala wakil rakyat Amanah, Saari Sungib, mempertahankan kerusi Hulu Kelang dengan majoriti 2,811 undi.

Wakil rakyat PKR, Amirudin Shari mempertahankan kerusi DUN Batu Caves dengan majoriti 3,261 undi.

Nasib calon-calon Pakatan Harapan, termasuk Azmin, di Parlimen Gombak dan DUN di bawahnya menjadi persoalan selepas PAS sebulat suara memutuskan kerjasama politik dengan PKR April tahun lepas.

Sekiranya perseteruan antara PAS dan PH berterusan sehingga hari pengundian, PRU14 mungkin menyaksikan pertandingan 3 penjuru di 4 kawasan tersebut, lantas memberikan kelebihan kepada BN.

PH sebelum ini sudah menetapkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi dan Amanah 27 kerusi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-