Wednesday, January 17, 2018

Graduan jual nasi lemak. pandu Uber bukti kegagalan kerajaan

Nina Farzuin Md Sharom
17 Januari 2018


SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan menyesuaikan latihan dan penguasaan ilmu dengan peluang pekerjaan menyebabkan ada graduan terpaksa menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber.

Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, situasi itu hanya memalukan negara.

“Kita sedar keadaan ekonomi tak baik, peluang pekerjaan berkurangan, maka graduan daripada universiti pun terpaksa menjual nasi lemak.

“Ini sesuatu yang memalukan sebuah negara di mana graduannya jual nasi lemak. Kita tak boleh berbangga dengan mereka yang terlibat menjual nasi lemak atau pun jadi pemandu Uber,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook miliknya, hari ini.

Katanya, sepatutnya kecekapan dan latihan yang diperoleh graduan digunakan sebaik mungkin dengan peluang pekerjaan yang lebih bersesuaian.

“Mereka terpaksa menjual nasi lemak atau memandu Uber untuk menampung pendapatan. Sepatutnya mereka yang terlatih dengan kecekapan tinggi ini diberi peluang pekerjaan yang menggunakan kebolehan mereka.

“Bukan kita nak latih, jadi mereka menjadi pemandu Uber atau penjual nasi lemak. Kalau nak jual nasi lemak, kita patut ada universiti yang mengajar macam mana nak jual nasi lemak tapi kita tak ada universiti macam itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-