Sunday, January 14, 2018

'Ini janji BN jika berjaya rampas Selangor'

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah di Apartment Mentari Court Taman Sri Mentari hari ini. - Foto Bernama

PETALING JAYA -  Taska dan tadika akan ditempatkan di setiap kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah di Selangor jika BN berjaya mentadbir semula negeri itu pada PRU14, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata ia bertujuan memberi kemudahan kepada generasi muda yang baru berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil untuk menghantar anak mereka ke taska dan tadika di kawasan kediaman masing-masing.

"Kita akan selaraskan konsep seperti taska dan tadika oleh Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) yang disediakan di blok perumahan dan kosnya agak murah kerana ditanggung kerajaan," katanya selepas melancarkan Program Transformasi Sosial Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di sini, hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kementeriannya meluluskan peruntukan kira-kira RM6 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara kemudahan perumahan di Mentari Court di sini yang didiami kira-kira 15,000 penduduk.

Turut diluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memasang alat perangkap nyamuk yang menggunakan tenaga solar iaitu 'Integrated Mosquito Management' bagi menangani kes denggi di kawasan Lembah Klang terutamanya di Selangor yang dikatakan merekodkan kes tertinggi.


Noh mendakwa kerajaan negeri Selangor dilihat masih gagal menangani kes denggi dan sehubungan itu kerajaan persekutuan bersedia membantu.

"Pada dasarnya kerajaan telah bersetuju meluluskan RM10 juta tetapi pada peringkat pertama diberikan RM1 juta dahulu. Apabila melibatkan kesihatan, kita (kerajaan persekutuan) bantu tidak pilih parti,"katanya.

- Bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-