Tuesday, January 23, 2018

Musa: RM1 bilion peruntukan terbesar untuk sekkolah di Sabah

Tracy Patrick
January 22, 2018

Ketua menteri Sabah berkata dana kerajaan persekutuan menyokong usaha kerajaan memperkasa pendidikan di negeri itu.

KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata RM1 bilion dari Putrajaya untuk baik pulih sekolah di negeri itu merupakan dana terbesar yang pernah diterima setakat ini bagi tujuan itu.

Beliau berkata peruntukan itu menyokong usaha kerajaan negeri memperkasa pendidikan.

“Saya menghargai peruntukan itu kerana iniah dana yang kita nanti-nantikan, terutamanya jabatan pendidikan,” katanya selepas program bicara profesionalisme pendidikan peringkat negeri dan penyerahan bantuan awal persekolahan di Libaran, Sandakan hari ini.

Tuduhan pembangkang baru-baru ini, terutamanya Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, seolah mendakwa kerajaan negeri tidak berusaha sebaik mungkin untuk pendidikan.

Shafie dilaporkan berkata beberapa sekolah di Sabah kekurangan dana sehingga terpaksa memohon bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Bekas naib presiden Umno itu turut mencemuh sumbangan beg sekolah dari Barisan Nasional untuk kanak-kanak, dan berkata ketika komunikasi moden tersedia di bandar-bandar, sekolah-sekolah luar bandar dalam keadaan daif sehinggakan para ibu bapa tidak mampu menyediakan barangan asas untuk anak-anak mereka.

Musa tidak mahu melayan kritikan itu dan cuma menjelaskan RM1 bilion itu akan dibelanjakan untuk baik pulih sekolah melalui kaedah sistem binaan berindustri (IBS) menggantikan struktur kayu sedia ada.

Program itu, yang akan dijalankan dalam 2 fasa, bakal menyaksikan RM500 juta dibelanjakan tahun ini di 4 daerah iaitu Sandakan, Beluran, Telupid dan Kinabatangan, sementara RM500 juga lagi akan dibelanjakan tahun depan.

Musa berkata peruntukan besar itu menunjukkan kerajaan negeri dan persekutuan komited pada pendidikan.

“Di pihak kerajaan negeri, kita akan minta semua sumber untuk bantu bangunkan Saah supaya anak-anak kita boleh berkembang maju,” katanya.

Kerajaan bukan sahaja prihatin dengan keadaan bangunan, tetapi juga tidak melupakan kebajikan para pelajar, kata Musa, yang juga Adun Sungai Sibuga.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan banyak program seperti bantuan awal persekolahan yang memberikan RM100 kepada para pelajar yang layak untuk membantu mereka memulakan tahun persekolahan dan pemberian beg sekolah percuma oleh kerajaan negeri.

“Menyediakan beg sekolah kepada pelajar bertujuan meringankan beban ibu bapa. Ini cara kita membantu rakyat kerana kerajaan BN mahu anak-anak kita berjaya,” katanya.

Beliau menambah hab pendidikan di daerah itu akan memudahkan akses kepada pendidikan tertiari untuk penduduk tanpa perlu berhijrah ke daerah lain yang memerlukan belanja yang besar.

Di samping itu, lebih banyak pusat pendidikan dan latihan tidak lama lagi akan membuka pintu kepada belia Sabah dengan lebih banyak lagi tawaran kemahiran dan latihan.

Kunjungan Najib

Bercakap tentang kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke kawasan pedalaman minggu lepas, Musa berasa bangga mendengar pencapaian di daerah-dearah itu.

“Semasa saya menjadi pengarah Yayasan Sabah, kami bina banyak asrama di kampung-kampung untuk manfaat para pelajar kita.

“Sekarang, asrama-asrama itu diambil alih oleh jabatan pendidikan dan saya gembira kerana inilah tanggungjawab bersama, iaitu menyediakan kemudahan untuk anak-anak kita di sekolah,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan untuk program bantuan awal persekolahan itu.

“Ia sangat bermakna buat anak-anak kita. Di Sabah, kita diberi RM38 juta untuk perkara itu dan membuktikan kesungguhan kerajaan persekutuan menyokong pendidikan di negara ini,” katanya.

Musa menambah prestasi sekolah-sekolah di Sabah di kawasan bandar dan luar bandar bertambah baik dengan mendadak sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Maimunah Suhaibul berkata jabatan itu bekerja keras mencapai sasaran pengambilan 90% guru tempatan, dan percaya ia boleh dicapai pada 2019.

Beliau berkata, rakyat Sabah membentuk 84.1% guru di sekolah rendah manakala di sekolah menengah, 77.7% guru adalah anak tempatan.

Tahun lepas, jabatan melantik 557 guru interim termasuk 334 individu dengan pilihan untuk mengajar pendidikan Islam.

Jabatan itu akan melantik 199 guru interim untuk sekolah-sekolah menengah dan 145 guru interim untuk sekolah-sekolah rendah tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-