Wednesday, January 17, 2018

PAS Perak yakin tambah 10 kerusi

Khairil Anwar Mohd Amin
17 Januari 2018

Abu Bakar (dua kanan) mengetuai bacaan doa sewaktu mengadakan lawatan ziarah rumah penduduk sekitar Dun Titi Serong.

PARIT BUNTAR -  Pas Perak berkeyakinan tinggi bakal memenangi tambahan sepuluh kerusi Dun di samping mengekalkan lima kerusi Dun disandang parti itu ketika ini, termasuk satu kerusi Dun 'dilarikan' Amanah.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Parit Buntar, Abu Bakar Hussain berkata, meskipun Pas didakwa bersendirian dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), jangkaan penambahan kerusi Dun itu dibuat secara realistik berdasarkan senario politik semasa.

Menurutnya, ketika ini, Pas Perak menyandang kerusi Dun Titi Serong, Sungai Rapat, Gunung Semanggol dan Selinsing manakala Dun Changkat Jering dimenangi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kini sudah menjadi milik Amanah.

"Sememangnya Pas Perak menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dun bagi membentuk kerajaan, dengan jangkaan bakal bertanding di semua kerusi majoriti pengundi orang Melayu.

"Sasaran kemenangan paling realistik adalah melibatkan sepuluh kerusi Dun di mana kerusi-kerusi terbabit adalah berasaskan majoriti pengundi melayu di samping merupakan kerusi tradisi parti seperti Dun Alor Pongsu," katanya sewaktu ditemui pada program Jelajah Rakyat Dun Titi Serong di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Parit Buntar, Abdul Bahrin Md Desa dan Penyelaras Parlimen Parit Buntar, Ahmad Azhar Shahrin.

Abu Bakar yang juga Adun Titi Serong turut menolak dakwaan pengundi bukan melayu bakal meminggirkan Pas dan parti itu bersendirian dalam menghadapi PRU14.

Menurutnya, Pas sentiasa bersama dengan Gagasan Sejahtera dan sentiasa didukung oleh lebih 300 NGO dalam memastikan kemenangan parti itu nanti.

"Walaupun dakwaan pengundi cina menolak Pas, tetapi saya yakin sekurang-kurangnya 7 hingga 10 peratus antara mereka masih menerima kami.

"Hal ini disebabkan mereka melihat Pas konsisten memperjuangkan perlaksanaan kerajaan yang adil dan saksama, di samping menjadi opsyen terbaik berbanding Pakatan Harapan (Harapan) dan BN," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-