Sunday, January 21, 2018

PAS sedia bentuk kerajaan campuran

By watan 
on January 21, 2018


PAS bersedia bergabung dengan parti lain bagi membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti lain yang ingin menubuhkan kerajaan perlu bergantung kepada PAS, jika mereka boleh memenangi 40 kerusi Parlimen.

“Kita akan bertanding lebih 130 kerusi sekurang-kurangnya (untuk) dapat simple majoriti.

“PAS mahu bentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah selepas PRU,” katanya ketika berucap di Himpuna Fastaqim 2.4 dan pelancaran jentera pilihan raya PAS Selangor di Shah Alam, pada Ahad.

Tanpa memaklumkan parti politik pilihan PAS, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan besar PAS akan bekerjasama membentuk kerajaan campuran nanti.

Minggu lalu, Harakah Daily melaporkan Abdul Hadi menjangkakan tiada parti yang mampu memenangi kerusi secukupnya untuk membentuk kerajaan pada PRU14.

“Walaupun parti lain ada 100 kerusi, 80 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan kena ada minima 112 kerusi.

“Jika PAS ada 40 kerusi, bermakna kita akan menjadi tempat kebergantungan siapa yang nak tubuh kerajaan. Dengan 40 kerusi ini kita (PAS) ada pengaruh dan boleh minta macam-macam,” katanya dipetik portal PAS itu pada 12 Januari lalu.

Sementara itu PAS tidak memandang ringan ancaman PAN walaupun menyifatkan ia ibarat parti nyamuk.

“Bagi kita itu sudah jadi parti nyamuk. Jadi, nyamuk ni walaupun seekor kita tak boleh tidur jugak.

“Kita akan tangani, rakyat Selangor boleh tangani, kita cuma lihat bagaimana parti ini ditentukan dalam Pakatan Harapan, itu semua kita dapat lihat semua,” kata Abdul Hadi.

Oleh: Najamuddin Mod Nor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-