Monday, January 22, 2018

'Sebagai kuasa penentu, PAS boleh jatuhkan kerajaan'


Jika tidak mampu membentuk kerajaan sendiri, PAS bercita-cita untuk menjadi kuasa penentu dalam kerajaan penggal akan datang yang cukup kuat sehingga mampu menentukan jatuh bangun kerajaan itu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia tanpa mengira sama ada kerajaan gabungan itu melibatkan BN atau Pakatan Harapan, asalkan bersetuju dengan dasar parti itu.

"Kalau mereka langgar syarat (membentuk kerajaan), kita tarik sokongan, kerajaan itu tumbang. Kerajaan ini tak stabil.

"Kerajaan stabil adalah yang miliki majoriti dua pertiga, tetapi ia merosakkan negara jika diberikan kepada orang yang rosak," katanya dalam rencana yang disiarkan Harakahdaily, hari ini.

Dalam ucapannya di perhimpunan Fastaqim 2.4 semalam, presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS mensasarkan untuk bertanding 130 kerusi Parlimen dan membentuk majoriti mudah.
Jika tidak mampu mencapainya, beliau berkata PAS mahu menyertai pembentukan kerajaan dan bukan lagi menjadi pembangkang.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata sebab itulah PAS berazam untuk bertanding dengan jumlah kerusi Parlimen yang banyak menerusi platformnya sendiri, iaitu Gagasan Sejahtera.

"Kalau PAS ada 40 kerusi, PAS tak boleh perintah, BN tak boleh perintah, HARAPAN tak boleh perintah. BN dan HARAPAN akan mengharapkan 40 kerusi PAS.

"Orang tanya kita nak sokong mana? Kita akan sokong siapa yang terima dasar yang diperjuangkan PAS," katanya.

Selepas terbubarnya Pakatan Rakyat, PAS kekal tidak menyertai gabungan pembangkang yang baru dan mengetuai gabungan sendiri melalui Gagasan Sejahtera yang disertai dua parti kecil, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Sejak itu, ia bertegas dengan matlamatnya sebagai 'kuasa ketiga', di sebalik dakwaan mengatakan parti itu berkerjasama dengan Umno.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/409595#CI5qR1gSVhBlKAXe.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-