Monday, February 19, 2018

Amaran Hadi buat pelanggar baiah


PAS berkata setiap umat Islam terikat dengan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi dan diikat dengan baiah (perakuan sumpah) sesebuah jemaah yang mesti diikuti.

Kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui al-Quran Allah menceritakan bagaimana pada rasul berdakwah serta berpolitik mengikut kesesuaian masing-masing.

Kata presiden PAS itu semua rasul terbabit juga mengumpul pengikut untuk membentuk jemaah sendiri.

"Para rasul itu juga mengumpulkan pengikut bagi membentuk jamaahnya yang diikat dengan bai’ah kepada kumpulan yang berjuang bersamanya supaya rakyat menerima Islam dan meminta kerajaan memerintah dengan syariat Allah (Islam) di zaman masing-masing.

Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Musa AS dan lain-lain berdakwah, mengumpul rakyat dan berdepan dengan para pemimpin di zamannya supaya beriman kepada Allah sahaja dan menolak syirik dalam ibadat serta beramal dengan syariat Allah dalam urusan kehidupannya," kata Abdul Hadi dalam kenyataan hari ini.

Isu baiah bukan sesuatu yang baru buat PAS dan ia mula diperkenalkan beberapa dekad lalu bagi mengelakkan seseorang wakil rakyat parti itu melompat parti.

Baca Baiah jatuh talak bercanggah al-Quran, sunnah

Lafaz baiah itu diwajibkan ke atas semua individu yang menjadi calon pilihan raya mewakili PAS dan lazimnya selaras di semua negeri.

Bagaimanapun sesetengah baiah turut memasukkan lafaz membabitkan hubungan perkahwinan dan melanggar ikrar berkenaan dianggap boleh menyebabkan gugurnya talak tiga.

Untuk seketika langkah itu berjaya mengekang penghijrahan seseorang wakil rakyat PAS sehinggalah selepas tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Semua mesti istiqamah

Beberapa wakil rakyat PAS kemudian meninggalkan parti itu selepas mendapat pandangan ulama yang berada di luar parti terbabit.

Dalam kenyataan itu Abdul Hadi berkata amalan berpolitik turut ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang melaksanakannya seiring dengan dakwah.

Politik Nabi Muhammad itu kata Abdul Hadi berlangsung dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk.

"(Baginda) mengumpulkan para pengikut yang setia dengan ikatan perjanjian (dengan) melakukan baiah dan melaksanakan al-Quran itu bagi urusan politik dengan sempurna," katanya.
Pada akhir kenyataan yang sarat dengan petikan al-Quran dan hadis itu Abdul Hadi juga mengingatkan untuk mencapai matlamat supaya syariat Islam boleh dilaksanakan dalam sesebuah negara, amalan politik bernegara mesti diusahakan.

Katanya tanpa beramal dengan Islam - atau sekadar sebahagian daripadanya - adalah "langkah syaitan" yang dapat dilihat kesan buruknya walau di dunia lagi.

"Tidak beramal dengan Islam atau beramal dengan sebahagian sahaja seperti perkara yang berkait dengan diri masing-masing dalam urusan ibadat dan keluarga sahaja atau tidak mempedulikan hukum Islam dalam urusan bermasyarakat, politik, ekonomi dan lain-lain, adalah langkah syaitan yang telah dilihat keburukannya di dunia sebelum tiba hari akhirat.

"Semua kalangan yang mahu mengheret PAS keluar dari landasannya (akan) tersungkur dalam perjalanan.

"Hanya mereka yang terus beristiqamah saja (mampu) bersama (jemaah Islam) sehingga akhir hayatnya," kata Abdul Hadi.

Kenyataan Abdul Hadi itu dibuat dengan judul "Politik warisan para anbia".

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/412737#t27i4UhWOMZebUTX.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-