Sunday, February 18, 2018

'Berita palsu, hukuman sedia ada tidak cukup'


Hukuman sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan bagi pesalah yang menyebarkan berita palsu kata Ketua Pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Dr Mazlan Ismail.

Ketika ini mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan Internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

“Bagi pandangan peribadi saya, denda RM50,000 ini masih kecil dan tidak menggerunkan penyebar berita palsu. Jumlah itu sewajarnya dinaikkan kepada RM500,000.

“Begitu juga penjara setahun dinaikkan sehingga sembilan kali ganda, misalnya kepada 10 tahun. Ini tidak lain sebagai pengajaran supaya masyarakat kita tidak sewenang-wenangnya menyebar berita tidak benar.

“Hukuman denda kecil dan tempoh penjara terlalu singkat ketika ini menyebabkan penyebar berita palsu tidak gentar, mereka mengulangi perbuatan terkutuk ini,” katanya dalam wawancara bersama media tempatan hari ini.

Tak sekat hak, kebebasan bersuara

Mazlan turut berkata undang-undang itu tidak menyekat atau menggugat hak dan kebebasan bersuara selagi tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

“Namun, benda atau nilai buruk yang perlu dielak, ada baiknya kita elak. Ini bukan main lagi, menulis sehingga mengancam perpaduan dan sanggup berbohong demi kepentingan sendiri sehingga terlupa ia menggugat dan menganiaya pihak lain.

“Contohnya, ada kes orang masih hidup tapi berita kematiannya sudah tersebar luas di media sosial. Bayangkan apa perasaan pihak yang teraniaya. Justeru, jangan terlalu ghairah menyebar berita tidak benar, diragui kesahihannya,” katanya sebagaimana dipetik Berita Harian, .

Jelasnya lagi, media sosial atau media konvensional dan penyiaran tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya terbukti menyebarkan berita palsu.

“Syarikat penerbitan atau pengamal media tidak akan dikenakan tindakan sewenang-wenangnya jika mereka mengamalkan etika kewartawanan dan tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Katanya undang-undang sedia ada tidak mencukupi dan ia perlu dipinda untuk membendung penyebaran maklumat yang menjurus kepada fitnah.

“Media sewajarnya menggunakan pengaruhnya ke arah kebaikan dan bukan mengikut jejak segelintir pemain media sosial yang sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak berasas,” katanya.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/412595#pcAlrF4Vtv09W63u.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-