Friday, February 23, 2018

Hadi minta Cina bantu PAS selamatkan negara

Berita Terkini
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu masyarakat Cina di negara ini supaya memberi kepercayaan kepada parti itu untuk menerajui Malaysia.

Berucap pada majlis jamuan sempena tahun baru Cina 2018 di Kuala Terengganu, semalam, beliau turut mendedahkan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini, PAS berusaha untuk memerintah negara ini.

"Kita (PAS) cuba di Kelantan, cuba di Terengganu, cuba di Kedah tetapi kita tidak kuasa yang lebih. Jika boleh, kita (PAS) hendak kuasai sampai ke kerajaan pusat.

"Dalam pilihan raya ini (PRU14), PAS akan bertanding 130 kerusi parlimen, kerana untuk memerintah negara kita (PAS) memerlukan 112 kerusi. Jika PAS boleh 112 kerusi parlimen, PAS boleh memerintah negara.

"Maka, kaum Cina, kita minta supaya memberi kepercayaan kepada PAS, bukan sahaja di Terengganu juga kita mahu peringkat Malaysia,” katanya yang dipetik oleh Harakahdaily.

Abdul Hadi berkata, PAS perlu menjadi sebuah parti yang kuat dan gagah supaya mereka boleh menghalang orang yang hendak buat huru-hara dan kacau bilau di negara ini.

Menurutnya, PAS mahu selamatkan negara ini dengan memperkenalkan kepada rakyat Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) agar tidak berlaku peperangan dan pergaduhan.

“Politik kita boleh berbalah, berkelahi tetapi tidak boleh berperang dan tak boleh bergaduh. Beza pendapat boleh tetapi bergaduh tidak boleh dan kita (PAS) nak halang sebab-sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan itu.

"Islam sebenar mengajar pengikut-pengikutnya bagaimana kaum Cina, kaum India mereka boleh hidup di kampung-kampung Melayu. Boleh hidup berkedai satu keluarga Cina di kampung Melayu.

"Di Kelantan, Terengganu, Kedah dan di Perlis. Ketika berlakunya huru-hara dalam peristiwa 13 Mei 1969. Terengganu tidak ada 13 Mei, di Kelantan tiada 13 Mei, Kedah tak ada 13 Mei.

"Tetapi, huru-hara berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Singapura bergaduh kaum. Tempat yang orang Islam sungguh-sungguh pegang dengan Islam, tak ada gaduh dan tak ada huru-hara," katanya.

Pada ucapannya itu, ahli parlimen Marang itu turut mengimbau kembali ketika pemerintahan PAS di Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 lalu.

"PAS pernah memerintah (Terengganu) tahun 1999 dan saya dilantik menjadi menteri besar ketika itu. Banyak benda yang kita buat antaranya kita (PAS) hapus cukai pintu rumah kediaman.

"Kita hapus cukai peniaga-peniaga kecil. Kita beri geran tanah kepada rakyat tidak kira kaum apa termasuk orang Cina, India, Melayu.

"Di sana ada Kampung Baru Cina Bukit Berangan (Tepoh), ada Kampung Batu Lima, Dungun dan ada Kampung Air Putih, Kemaman. Mereka (orang Cina) dikurung oleh British dahulu.

"Walaupun (negara) kita telah merdeka, kerajaan tidak beri mereka geran tanah sehinggalah kita memerintah, kita (PAS) beri geran tanah. Kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong," katanya.

Ini kerana, menurut Abdul Hadi, adalah hak semua manusia bagi menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam pendidikan.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/413172#bsmATB6HFs9zzJ6c.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-