Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, March 25, 2018

'Jangan marah digelar terkucil'

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan agar ahli akademik memilih bahasa yang sesuai serta tidak memaki atau mencerca dalam mengkritik.

Menurut Mohd Asri, ahli akademik yang suka mencerca tidak wajar marah sekiranya hal sama dilakukan terhadapnya.

"Jika ada yang mengaku sebagai ahli akademik tetapi berat sebelah, suka mencerca dan menggelar orang lain, maka dia tidak wajar membantah jika hal yang sama dilakukan kepadanya.

"Jika seseorang yang mengaku sebagai ahli akademik itu selalu menggelar dan mencerca orang selama ini, kemudian dia pula dipanggil pelbagai gelaran seperti 'prof kangkung', 'telan ubat gegat', 'lembab', 'talam dua muka', 'terkucil', 'otak kurang sihat' dan seumpamanya, maka dia mungkin boleh mempelajari makna berat sebelah, maki hamun dan mencerca dan menggelar orang lain yang menjadi amalannya selama ini.

"Ia juga mungkin kemustajaban doa orang-orang yang dimaki, dikhianati dan dicerca selama ini," katanya.

Walaupun tidak menyebut secara langsung, kenyataan Mohd Asri itu dibuat ketika media sosial dipenuhi kritikan terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul merupakan salah seorang panelis wacana yang membincangkan tajuk 'Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?' Khamis lalu, yang turut menyaksikan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Susulan itu, keratan video yang memperlihatkan bagaimana Kamarul pada mulanya lantang mengkritik bekas perdana menteri itu terpaku selepas ketibaan Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali, turut tersebar meluas.

Beberapa pimpinan PAS turut tampil mengulas isu itu dengan memberikan sokongan kepada hujah-hujah Kamarul.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mohd Asri mengingatkan bahawa gelaran Dr, Prof Madya, Profesor dan seumpamanya mempunyai maksud justeru istilah itu tidak boleh digunakan sewenangnya.

"Walaupun itu semua di zaman ini bukanlah benar-benar menunjukkan kualiti, namun ia tidak boleh dipakai melainkan benar-benar memilikinya secara rasmi.

"Kejujuran amat penting bagi insan yang mendakwa sebagai ahli akademik. Marilah kita menjadi ahli akademik yang jujur, berakhlak dan berdisiplin," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Jujur dalam mengkritik


Menurut Mohd Asri lagi, dalam dunia ilmiah dan pemikiran, tindakan mengkritik adalah tidak salah namun kritikan itu hendaklah adil.

"Tidak salah untuk membantah dan mengkritik sesiapapun selain Allah dan Rasul-Nya. Agamawan ataupun negarawan, pemimpin ataupun rakyat semuanya terdedah kepada kritikan.
Mereka bukan maksum.

"Demikian juga kita. Namun paksi kritikan itu hendaklah adil dan jujur terhadap fakta yang kita kemuka dan pertahankan.

"Tidak sentiasa berat sebelah ataupun hanya menjadi jurucakap untuk sesebuah kumpulan politik semata," katanya.

Untuk rekod, Mohd Asri dan Kamarul sering berbeza pendapat secara terbuka.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Kamarul menyifatkan Mohd Asri sebagai "penakut" dan "hanya berani melontar batu sembunyi tangan".

Kamarul berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Asri yang tidak menyertai parti politik selepas rakannya Dr Maszlee Malik dan Wan Saiful Wan Jan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Walaupun hati saya lebih berat untuk menyatakan bahawa ketidakmasukan Mohd Asri ke dalam mana-mana parti politik lebih sesuai untuk digantungkan kepada alasan seumpama bahawa “saya penakut dan hanya berani melontar batu sembunyi tangan”,” kata Kamarul.