Wednesday, March 21, 2018

Lepas doa Ahzab, Mais gantung tauliah Dasuki


Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggantung sementara tauliah anggota perhubungan PAS negeri itu Ahmad Dusuki Abd Rani selepas terpalit kontroversi mendoakan kehancuran "pakatan yang jahat".

Sepucuk surat dikatakan daripada JAIS kepada Dusuki kini mula beredar di Internet selepas dimuat naik ke Facebook oleh pegawai penerangan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin petang ini.

“Tauliah Ustaz Dasuki ditarik oleh Majlis Agama Islam Selangor.

"Agak-agak kalau dia mengajar juga, JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) datang tangkap tak?” soal ustaz muda itu.

Surat itu antaranya berkata tauliah mengajar dan berceramah Dusuki digantung serta-merta sementara menunggu siasatan susulan aduan dan laporan media berkaitan kontroversi itu.

Sumber-sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan tindakan Mais itu tetapi enggan mengulas berkaitan keaslian surat yang dikatakan dikeluarkan oleh jawatankuasa tauliah majlis itu.

“Digantung sahaja sementara jawatankuasa tauliah Mais bersidang.

"Jawatankuasa ini yang akan tentukan keputusan sebenar,” kata sumber kepada Malaysiakini.

Dusuki selepas solat hajat sempena 10 tahun PAS dalam kerajaan Selangor di Shah Alam pada 18 Mac lalu dilapor berdoa menyamakan pertempuran antara PAS dan parti lain pada pilihan raya umum akan datang seperti Perang Ahzab.

Baca: Teks penuh doa PAS Selangor hancurkan 'pakatan jahat'

Peperangan Ahzab atau Perang Khandak merupakan peperangan antara tentera kafir di sekitar tanah Arab yang berkumpul untuk memerangi Nabi Muhammad yang ketika itu berada di Madinah.

Dusuki berdoa antaranya memohon agar PAS diberi kemenangan pada pilihan raya umum akan datang serta dapat memerintah di Selangor.

Dusuki yang juga seorang pendakwah turut berdoa agar 'pihak' yang meninggalkan PAS serta 'memungkiri' baiah mendapat balasan daripada Allah.

Selepas kritikan, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu itu tidak patut timbul atau dimanipulasikan kerana ia dibuat untuk mengharapkan kemenangan parti itu, serta mengalahkan musuhnya.

Mais, Jais dan Dusuki ketika dihubungi enggan mengulas isu itu.

Dusuki bagaimanapun memberitahu Malaysiakini beliau akan menyentuh isu itu di Facebook beliau dalam sehari dua lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-