Sunday, March 18, 2018

PAS sasar 'Sabah Sejahtera' tanpa hudud

Tracy Patrick

Tuan Ibrahim (5 dari kiri) dan Aminuddin (4 dari kiri) di pelancaran manifesto Sabah.

KOTA KINABALU:
   PAS berkata ia akan memperjuangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ketika parti Islamis itu melancarkan manifesto yang tidak menyebut tentang syariah atau hudud, isu-isu yang diperjuangkan oleh pemimpin parti itu di Semenanjung.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dokumen itu, yang mengandungi 10 perkara teras, dirumuskan dengan mengambil kira keperluan dan aspirasi rakyat Sabah.

“Kita sudah melalui 17 pilihan raya dan masih ada orang hidup dalam kemiskinan yang teruk di Sabah,” katanya selepas melancarkan manifesto itu di Batu Sapi, Sandakan semalam.

“Kerajaan PAS akan memastikan prasarana asas disediakan untuk rakyat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata partinya juga akan memberi penekanan pada soal pemilikan tanah untuk membantu rakyat hidup dalam keadaan selamat.

“Di Sabah, ramai orang kehilangan tanah kerana diberikan kepada pemaju atau dijual pada harga yang terlalu tinggi,” katanya.

Bertemakan “Sabah Sejahtera”, manifesto itu berkata hak Sabah menurut MA63 akan dikembalikan kepada negeri itu kerana kerajaan PAS akan mengiktiraf status istimewa Sabah dan Sarawak sebagai akan rakan kongsi Tanah Melayu.

Manifesto itu berkata kerajaan PAS akan membolehkan 100% sumber negeri digunakan untuk pembangunan Sabah.

Ia juga berjanji untuk memberikan autonomi penuh kepada Sabah untuk menguruskan hasil cukai, dan memansuhkan GST yang diperkenalkan pada 2015.

Parti itu juga berjanji untuk menjamin hak orang bukan Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

Perkara teras lain termasuk menyediakan peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, pendidikan dan keselamatan, termasuk melawan tuntutan-tuntutan dari Filipina ke atas Sabah.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling berkata senarai penuh calon parti bagi negeri itu hanya akan diumumkan oleh kepimpinan pusat.

Pada pilihan raya umum 2013, PAS bertanding dan tewas 2 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN di Sabah, termasuk hilang deposit di Pitas dan Bugaya.

Pesuruhjaya ketika itu, Hamzah Abdullah kemudian menyertai Amanah, parti pecahan yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS pada 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-