Saturday, March 31, 2018

"Saya kena 'bantai' macam manapun, saya tetap beristiqamah teruskan perjuangan"


31 MAC:   Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, serangan politik berterusan tidak akan melemahkannya sebaliknya beliau terus istiqamah berjuang membela nasib rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, beliau terus fokus menerajui pentabiran negara kerana kerajaan
pimpinannya mempunyai agenda besar untuk semua.

Keadaan itu, kata beliau, berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu mengkritik dan membuat kecaman tetapi tidak mempunyai agenda besar untuk rakyat.

“Saya kena ‘bantai’ macam mana pun, saya tetap beristiqamah untuk teruskan perjuangan kita,” katanya ketika berucap melancarkan program Jimat Belanja Dapur peringkat kebangsaan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Padang Awam Dara, Chini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun dan Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan evolusi baharu Pasar Tani iaitu Pusat Khidmat Setempat@Pasar Tani, Aplikasi Pasar Tani dan QR Pay.

Najib berkata, beliau menjadikan perjuangan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua sebagai landasan perjuangan beliau membela nasib rakyat.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak mahu dan tidak akan merendahkan maruahnya seperti dilakukan pemimpin pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik.

“Kita tidak mahu orang kata standard kita macam standard dia. Kita tidak mahu merendahkan maruah kita dah cara imej kita macam dia.

“Saya nak buat kerja. Saya nak teruskan perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak. Saya sudah sematkan ikrar legasi Allahyarham Tun Abdul Razak tetap dijadikan landasan perjuangan saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-