Monday, April 30, 2018

Abdul Hadi bermadah lagi


PRU14 |  Presiden PAS hari ini menulis surat terbuka khusus kepada anak-anak pemimpin parti itu yang meninggalkan "perjuangan" bapa masing-masing.

Sambil menasihti mereka agar membaca al-Quran dan bukannya asyik membelek Facebook, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata anak-anak pemimpin PAS itu wajar segera meninggalkan bahtera Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Sepatutnya anak-anak pemimpin PAS tidak bersama bahtera HARAPAN yang nakhodanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembantunya yang menebuk bahtera BN sehingga menjadi bocor dimasuki air dan juga sangat membahayakannya.

"Maka PAS tidak bersama BN dan tidak juga HARAPAN," katanya.

"Al-Quran mengisahkan anak Nabi Nuh yang memperlekehkan bahtera ayahnya, dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkan daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan.

"Apa yang menarik bahtera HARAPAN mengumpulkan kumpulan DAP yang antiislam secara terbuka.

"Pemimpin utamanya pula pemikir pemutar alam yang dilihat bijaksana tanpa bijaksini, lebih memenangkan akal terhadap nas al-Quran dan tidak yakin kepada kitab-kitab hadis seperti Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain, serta tidak percaya kepada para ulama dalam perkara politik," katanya.
Menurut Abdul Hadi, HARAPAN hari ini bersama kumpulan dilabelnya Islam liberal serta pengamat politik yang tidak matang atau sejahtera.

Calon PAS untuk kerusi parlimen Marang itu juga membayangkan kumpulan HARAPAN begitu gelojoh mahu mengetepikan BN bagi membentuk kerajaan.

"Mereka semata-mata mahu melompat ke Putrajaya dan pernah terpaksa berpatah balik melompat ke Kajang yang menjadikannya makin jauh daripada Putrajaya.

"Kajian politiknya (pemimpin HARAPAN) mengira di atas kertas dan memegang telefon bimbit secara mudah, bukannya dirujuk betul di atas lapangan rakyat secara terperinci," katanya lagi.

Menang tak bermaya

Surat terbuka itu hadir ketika orang ramai memperkatakan susuk Nik Omar Nik Abdul Aziz yang muncul memberi warna baru buat HARAPAN apabila bertanding di DUN Chempaka, Kelantan.

Nik Omar ialah anak kedua daripada 10 zuriat Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama isterinya Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Seorang lagi anak Nik Abdul Aziz, Nik Abduh, tetap tegar bersama PAS dan bertanding di parlimen Bachok pada PRU ke-14 ini.
Pembabitan Nik Omar, 53, sebagai tokoh HARAPAN dipercayai dapat menggugat pengaruh PAS terutama di Kelantan.

Selain Nik Omar ada beberapa lagi waris bekas pemimpin PAS yang memilih parti lain sebagai wadah perjuangan mereka. Antaranya Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa serta Faiz Fadzil.
Banyak pihak melihat kemunculan mereka memberi pengaruh besar kepada orang ramai selepas PAS dilihat semakin konservatif dan mesra kepada Umno.

Meneruskan warkah dengan bahasa berbunga-bunga itu Abdul Hadi berkata HARAPAN menerima pakai penasihat bukan Islam dan "makhluk negara asing" yang tidak berniat ikhlas terhadap Islam dan Malaysia.

"Mereka hanya menjadikan kita catur permainan politiknya... Akhirnya menubuhkan parti sendiri yang tidak memimpin bersama Islam tetapi dijadikan laksana melukut di hujung gantang.

"Kalau menang tidak bermaya, kalau kalah ditelan gelombang," kata Abdul Hadi yang hari ini didedahkan kerap bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.
Malaysiakini hari ini juga melaporkan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mendakwa Abdul Hadi pergi ke Tehran walaupun tidak disenangi Kesatuan Ulama Islam Sedunia selepas mendapat mimpi seumpama itu.

Di hujung surat terbuka itu Abdul Hadi menceritakan pengalaman beliau bersama tokoh-tokoh gerakan Islam yang pernah hidup sezaman dengan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin seperti Hasan al-Banna dan pengasas Jamaat-e-Islami Pakistan, Abul 'Ala al-Maududi.

"Beberapa orang yang berusia yang bersama Hasan Al-Banna dan Al-Maududi, masih hidup panjang usianya hanya mengeluh kepada saya: Apa nak dibuat (dalam isu anak-anak pemimpin PAS bertukar bahtera ini)?

"Jawab saya, selamatkan (anak-anak pemimpin PAS itu) sekadar yang dapat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-