Saturday, April 7, 2018

Bapa segala PRU

Kadir Dikoh
kadiro@nstp.com.my

SIARAN khas selama 26 minit disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi Perdana Menteri menarik perhatian ramai, semalam.

Pencarian mandat menuju ke Putrajaya secara rasminya sudah bermula dengan pengumuman pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini. Ini sekali gus mengakhiri teka-teka sejak lebih setahun lalu mengenai bila pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) diadakan.

Kini, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian. Ramai pihak menyifatkan pilihan raya umum kali ini sebagai ‘bapa segala pilihan raya’ lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu kembali menjadi perdana menteri pada usia 93 tahun jika pembangkang menang.

Barisan Nasional (BN), yang mentadbir negara sejak enam dekad lalu dijangka menghadapi saingan sengit daripada parti pembangkang yang menggelarkan gabungan mereka sebagai Pakatan Harapan (PH).

Persoalannya, mampukah PH merampas Putrajaya - Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang mereka idamkan sejak tiga pilihan raya umum lalu?

Ketika BN diketuai UMNO bersama 12 lagi parti komponen bersiap sedia untuk PRU-14 ini, PH yang diketuai DAP bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) masih tercari-cari titik persamaan, persefahaman serta kesepaduan sebagai satu gagasan untuk menyaingi BN.

Landskap politik negara mengalami perubahan signifikan ekoran kemelut dalam UMNO dan perpecahan dalam kalangan parti pembangkang sehingga Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk bersama DAP, PAS dan PKR, terkubur pada Jun 2015 dan akhirnya membawa kepada penubuhan PH.

Kecelaruan masih berlaku. Kelmarin, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara PPBM dan memberi tempoh 30 hari untuk parti itu melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.
Keadaan ini menyebabkan semua 52 calonnya bertanding menggunakan logo parti lain dalam PH sama ada DAP, PKR atau PAN seperti diakui Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula kecewa apabila logo parti itu yang sudah berusia 50 tahun tidak akan digunakan pada PRU-14.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan persetujuan menggunakan satu lambang yang dipersetujui semua parti dalam PH bagi PRU-14. Keputusan berkenaan diambil selepas kegagalan PH didaftar sebagai pakatan untuk bertanding dalam PRU-14.
BN juga dijangka berdepan dengan blok ketiga politik yang dinamakan Gagasan Sejahtera terdiri daripada PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) serta calon Bebas. PAS sudah mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya di 130 kerusi Parlimen.

Semua senario ini memungkinkan pertandingan tiga penjuru di kebanyakan kerusi terutama kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Pertembungan ini bakal menyaksikan saingan antara UMNO, PAS dan PAN atau PKR manakala di kawasan bandar membabitkan saingan antara BN diwakili MCA dan GERAKAN berdepan DAP.

Seperti pada PRU-13, mungkin PRU-14 sekali lagi menyaksikan tiada kerusi dimenangi tanpa bertanding untuk merebut semua 222 kerusi Parlimen, bayangan PRU-14 antara paling sengit dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa pembubaran Parlimen itu menzahirkan komitmen kerajaan BN terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan PRU14 dijalankan menurut lunas undang-undang.

Menegaskan bahawa kuasa untuk memilih kerajaan berada sepenuhnya di tangan rakyat, Perdana Menteri berkata semua pihak khususnya parti-parti bertanding wajib memahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya yang berasaskan jumlah kerusi dimenangi dan bukannya berdasarkan kiraan undi popular.
“Kami akan meyakinkan rakyat Malaysia tentang manifesto dan hala tuju negara yang direncanakan...(manifesto dan hala tuju negara) yang kami carta serta rencanakan dengan teliti, agar pengundi memberi mandat dan peluang sekali lagi kepada kami, untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat lagi stabil, dengan majoriti yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 8:25 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-