Sunday, April 22, 2018

Bekas Menteri Daim kritik Putrajaya kecuali GST untuk ECRL

Melissa Darlyne Chow
April 22, 2018

Bekas menteri kewangan itu berkata, rakyat Malaysia mempersoalkan kenapa mereka perlu membayar GST untuk entiti perniagaan yang akan memperoleh keuntungan.
Daim Zainuddin berkata, alasan kerajaan mengecualikan GST ke atas projek ECRL tidak boleh diterima. (Gambar Twitter)

LANGKAWI: Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin mempertikaikan keputusan kerajaan mengecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion, dan alasan ia adalah projek kerajaan tidak boleh diterima.

“Rakyat tanya ‘Kenapa saya bayar GST? Saya bayar, tetapi kerajaan nampaknya tidak peduli’.

“Kerajaan hanya kata, ‘Oh, anda perlu bayar’. Tetapi, orang-orang ini ialah ahli perniagaan. Mereka akan mendapat wang juga, tetapi anda masih kecualikan GST untuk mereka,” kata Daim kepada wartawan selepas menghadiri sebuah forum di sini, malam tadi.
Daim Zainuddin (tengah) bersama bekas ketua pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Kadir Jasin (kanan) menghadiri sebuah forum di Langkawi yang bertemakan “Langkawi…pasca Mahathir”.

Pemimpin pembangkang baru-baru ini mengkritik pelepasan yang diberikan kepada kontraktor ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) di bawah Akta GST 2014.

Tetapi, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy mempertahankan keputusannya memberi pengecualian cukai itu bukan sesuatu yang baru.

Katanya, kerajaan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah memberikan pengecualian cukai kepada projek kerajaan seperti pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan Stadium Bukit Jalil.

“Kita perlu ingat yang mendapat manfaat ialah rakyat kita sendiri bukan syarikat di negara China, sebab itu kita perlu faham makanisma GST,” katanya Subromaniam pada Khamis lalu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata, pengecualian itu akan memastikan kos pembinaan tidak akan melebihi anggaran RM55 bilion.

Tetapi, Daim berkata, penjelasan itu tidak boleh diterima.

“Apa alasannya? Untuk mengurangkan kos. Maka rakyat akan bertanya, macam mana dengan kos saya? Saya turut menderita,” kata Daim yang merupakan menteri kewangan di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Beliau berkata, jika kos projek itu tanpa GST ialah RM55 bilion, maka kerajaan memberi bayangan kos itu sebenarnya lebih tinggi.

“Mereka memberitahu rakyat ia sebenarnya melebihi RM55 bilion, tetapi kami menyerap GST itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-