Sunday, April 8, 2018

Hadi: PAS tak rasa tertipu RUU355 tidak dibahas di Parlimen

Adam Abu Bakar

SHAH ALAM:  Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak berasa tertipu dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak membahaskan usulnya mengenai rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355, di Parlimen yang dibubarkan semalam.

Presiden PAS itu percaya pindaan Akta 355 tetap akan dibahaskan di Dewan Rakyat, selepas pilihan raya umum ke-14.

“Usul ini akan terus berada di situ, Parlimen yang akan datang ini kita boleh sambung lagi, kalau mereka jadi ahli Parlimen dan menang lagi.

“Kita juga tidak rasa tertipu. Itu tidak timbul kerana sudah tertulis dalam agenda Dewan Rakyat, cuma tunggu masa sahaja,” katanya pada sidang media selepas program Mega Town Hall, di sini malam tadi.

Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat 5 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan hanya usul dibawakan menteri kewangan dibahaskan, walaupun usul Hadi itu diletakkan dalam kedudukan kedua aturan urusan mesyuarat hari itu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau tidak dapat memberikan keputusan kerana tidak tahu kedudukannya dan jika keputusan dibuat, ia tidak relevan pada sesi akan datang.

“Saya terikat dengan Peraturan Mesyuarat 15 (1), iaitu utamakan urusan kerajaan dan masih terikat dengan 12(1), iaitu kerajaan sendiri tentukan apabila urusan kerajaan selesai, kerajaan punya hak tentukan.

“Usul yang sebelum ini dibentangkan di Dewan Rakyat dulu juga adalah kehendak dari kerajaan dan saya tidak mengawal urusan,” kata Pandikar, Khamis lalu.

Pindaan Akta 355 mencadangkan hukuman maksimum terhadap pesalah syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan, daripada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan.

Calon perdana menteri biar rakyat tentukan

Sementara itu, Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkata, PAS akan mengadakan muktamar khas bagi menentukan pihak yang akan mereka pilih untuk membentuk kerajaan campuran, jika parti itu memenangi PRU14.

“Persoalannya dengan siapa kita akan bekerjasama nanti, adakah Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, sila tunggu selepas pilihan raya umum kelak.

“PAS akan pilih parti yang lebih dekat dengan Islam, namun sebelum itu akan adakan muktamar khas bagi mendapat maklum balas dan respons dari akar umbi.”

Hadi berkata, Gagasan Sejahtera yang dianggotai PAS dan 3 parti kecil lain belum membincangkan calon perdana menteri mereka.

“Saya serah perkara ini kepada rakyat, siapa yang akan tentukan siapa menang pada pilihan raya umum kelak, ia terserah kerana menjadi adab orang Islam bukan mengejar jawatan.

“Sudah menjadi tanggungjawab untuk kita memilih siapakah pemimpin yang kita mahu, bukan kita yang pilih diri kita sendiri,” katanya.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, PAS menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 130 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU14 dan tidak menolak kemungkinan akan bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Pada PRU13, PAS memenangi 21 daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya, tetapi 6 daripada 21 ahli Parlimennya melompat ke Amanah dan ia turut kehilangan satu lagi kerusi Parlimen di Pokok Sena apabila Datuk Mahfuz Omar meninggalkan parti itu untuk menyertai Amanah, bulan lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-