Monday, April 16, 2018

Idam jawatan MB Perak, DAP letak calon Melayu

Prof Dr Abdul Aziz Bari
15 APRIL: Rancangan DAP meletakkan calon Melayu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak didakwa mempunyai niat tersembunyi supaya bakal Menteri Besar dilantik daripada kalangan mereka jika pembangkang menawan negeri itu.

Penganalisis Politik, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, kekuatan DAP memang jelas di semua DUN yang ditandingi.

“DAP bertanding di kawasan bandar yang mana populasi kaum Cina lebih besar daripada kaum lain.

“Sejak dua PRU lalu, jelas terbukti DAP berjaya menang semua 18 kerusi DUN yang mereka tandingi di Perak,” katanya.

Beliau mengulas langkah terbaharu DAP yang akan meletakkan Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai calon kerusi DUN Tebing Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Achmad (foto) berkata, DAP memerlukan bantuan daripada rakan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memperolehi 12 DUN lain bagi mendapat majoriti mudah untuk menguasai Perak.

“Inilah muslihat DAP, barangkali mereka belajar daripada pilihanraya umum 2008 di mana mereka gagal meletakkan ADUN DAP sebagai Menteri Besar.

“Ini kerana dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak, Menteri Besar mestilah seorang Melayu dan Islam. Jadi dengan meletakkan Aziz Bari bertanding di Tebing Tinggi adalah usaha muslihat DAP yang mahukan Menteri Besar dilantik kalangan mereka,” katanya.
Pada PRU12, Perak dilanda tsunami politik apabila parti pembangkang berpakat menubuhkan kerajaan campuran.

Meskipun PAS ketika itu hanya memenangi enam kerusi DUN berbanding PKR (7) dan DAP (18), namun Sultan Perak ketika itu berkenan memilih ADUN PAS dari Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Achmad yang juga merupakan Felo Penyelidik Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM) melihat tindakan DAP sudah tidak dapat disangkal lagi.

“Walaupun mereka menafikan, tetapi semua pihak boleh mengagaknya dan pengumuman Aziz Bari yang mendahului keputusan DAP pusat menunjukkan parti itu memang ghairah untuk menguasai tampuk pemerintahan n Perak,” ujarnya.

Aziz yang pernah bertanding atas tiket PKR di Parlimen Sabak Bernam, namun tewas dan pada 2015, beliau menyertai DAP.

DUN Tebing Tinggi merupakan salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Ipoh Timur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-