Friday, April 6, 2018

JPPM langgar akta, PPBM berfungsi seperti biasa, kata Dr M

Mohamad Fadli
April 6, 2018
Pengerusi PPBM berkata perintah pembubaran sementara tidak disampaikan dengan sempurna.

PETALING JAYA:  PPBM mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melanggar Akta Pertubuhan dalam mengeluarkan perintah pembubaran sementara dan menganggap parti masih berfungsi untuk menjalankan sebarang aktiviti.

Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata antara sebabnya ialah perintah pembubaran sementara tidak disampaikan dengan sempurna dan oleh itu ia boleh dianggap tidak sah.

Beliau memetik Seksyen 62 Akta Pertubuhan 1966 yang memerlukan perintah seperti itu disampaikan kepada 4 pemegang jawatan di alamat berdaftar pertubuhan.

“Sehingga kini kami pemegang jawatan PPBM iaitu saya pengerusi, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiausaha agung dan bendahari tidak pernah disampaikan dengan apa-apa notis perintah sementara pembubaran,” katanya di ibu pejabat PPBM di Yayasan Selangor malam tadi.

Bekas perdana menteri itu juga mempertikaikan penularan perintah JPPM kepada orang ramai sebelum pertubuhan terkesan menerima notis.

“Ini tidak sepatutnya berlaku jika JPPM bersikap profesional dan telus,” katanya.

Mengikut tafsiran PPBM, Dr Mahathir berkata halangan aktiviti yang dikenakan ke atas PPBM hanya terpakai apabila pendaftaran pertubuhan terbatal secara mutlak.

Memandangkan PPBM hanya dikenakan perintah sementara, maka parti itu akan meneruskan aktiviti seperti biasa.

“Jika JPPM nak ambil tindakan dan tangkap saya kita protes. Rakyat pun akan protes,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata PPBM akan menggunakan peluang rayuan yang dibenarkan undang-undang untuk merayu perintah pembatalan sementara itu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“PPBM akan lakukannya dalam masa terdekat,” katanya.

JPPM hari ini mengarahkan pembubaran sementara PPBM selepas parti itu gagal membekalkan dokumen di dalam tempoh masa yang diberikan sebelum ini.

Dokumen itu ada kaitan dengan notis JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

Ia susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.

Perkembangan ini timbul di tengah-tengah spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan esok bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-14.

Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim berkata PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menyerahkan butiran maklumat dan dokumen yang diperlukan dalam siasatan ke atas aduan yang diterima, dan sekiranya gagal berbuat demikian, pendaftaran parti itu akan dibatalkan secara mutlak.

Isu berkaitan pendaftaran PPBM menjadi penghalang kepada pendaftaran Pakatan Harapan sebagai gabungan rasmi, bersama PKR, DAP dan Amanah.

Gabungan ini mahu bertanding pilihan raya bawah satu lambang untuk melawan Barisan Nasional (BN).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-