Thursday, April 19, 2018

Kenakan GST kepada syarikat China akan naikkan kos ECRL kepada RM58.3 bilion

Foto: Twitter Liow Tiong Lai

Pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) - China Communications Construction Company (CCCC) tidak menyebabkan kerajaan hilang pendapataan.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN (BNSC) Eric See-To berkata, memandangkan kerajaan adalah pemilik mutlak projek itu, pelepasan GST akan menjadikan kos keseluruhan projek adalah kekal sebanyak RM55 bilion dan tiada penambahan pinjaman diperlukan oleh kerajaan untuk membiayai ECRL.

“Memandangkan kerajaan adalah pembeli akhir dan pemilik mutlak projek ini, sebarang GST yang dikutip sepanjang projek ini berjalan bermaksud kerajaan sendiri yang akan membayar kos penuh GST pada akhirnya – yang kerajaan kemudiannya akan terima dari kontraktor utama.

“Maka, mengecualikan ECRL dari GST tidak bermakna kerajaan akan hilang pendapatan, sebaliknya akan menjimatkan kos kerana tiada keperluan untuk kos pembiayaan tambahan,” katanya di Facebook, semalam.

Kerajaan membuat pinjaman mudah melalui Bank Eksport-Import China bagi membiayai projek ECRL yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan bandar-bandar utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia termasuk Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Pada 17 April lalu, media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan bahawa CCCC yang dimiliki kerajaan China telah diberikan sijil pelepasan GST atas alasan ECRL adalah projek yang membabitkan kepentingan awam.

Ia susulan kenyataan Naib Presiden AMANAH, Husam Musa bahawa CCCC telah menggunakan sijil pelepasan berkenaan.

See-To berkata, Husam dan penyunting portal KiniBiz P.Gunasegaran telah memutarbelit dan mengelirukan rakyat mengenai pengecualian GST, mendakwa kononnya kerajaan hilang pendapatan kerana pelepasan tersebut.

“P.Gunasegaran mengisytiharkan saya dan dan Ketua Pengarah Kastam Subromanian Tholasy sebagai salah kerana menyatakan pengecualian GST akan menjimatkan wang kerajaan – walaupun sangat tidak masuk akal untuk menuduh ketua jabatan kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung untuk kutipan GST, yang juga seorang pakar GST tidak memahami apa itu GST,” katanya.

Mengulas lanjut, See-To memberikan ironi mudah bagi menunjukkan bahawa pengecualian GST sebenarnya tidak merugikan kerajaan – gambaran antara barangan yang diberikan GST dan barangan asas yang dikecualikan cukai itu.

“Anggap satu barang import berharga RM55 dan dijual di pasar raya mini. Kita anggap barang ini adalah sehelai baju maka ia jatuh dalam kategori barang yang dikenakan GST.

“Maka harganya termasuk GST di pasar raya mini tersebut adalah RM58.30, iaitu harga yang dibayar pembeli. Di dalam kes ini, pasar raya mini itu akan mengutip RM55 dan membayar GST sebanyak RM3.30 kepada kerajaan.

“Anggap juga pembeli tersebut adalah kerajaan dan ini bermakna kerajaan juga yang telah membayar GST RM3.30 itu kepada kedai yang kemudiannya akan membayar jumlah ini kepada kerajaan,” jelasnya.

“Sekarang kita anggap pula barangan ini adalah barangan yang dikecualikan GST. Contohnya, susu formula bayi. Harganya di kedai adalah RM55, tanpa GST. Pembeli membayar RM55 dan membawanya pulang.

“Anda dapat lihat, harganya kekal RM55. Mengecualikan GST tidak bermakna harganya akan menjadi RM51.90 dan kerajaan ‘kerugian’ RM3.10 dalam pendapatan GST,” tambahnya sambil menegaskan putar belit yang dibuat Husam dan P.Gunasegaran adalah langsung tidak benar.

Katanya, kos membiayai projek ECRL akan meningkat sehingga RM58.3 bilion jika kerajaan menggenakan GST terhadap kontraktor memandangkan sebanyak 85 peratus kos projek itu akan dibiayai melalui pinjaman mudah dari China.

“Maka penguatkuasaan GST keatas projek ini akan menaikkan kos keseluruhannya, menjadikan jumlah yang perlu dipinjam adalah RM58.3 bilion, berbanding RM55 bilion.

“Ini bermakna tambahan RM3.3 bilion perlu dipinjam di mana sudah pasti ianya akan dikenakan faedah. Pada kadar faedah 3.25 peratus untuk setiap pinjaman mudah bagi nilai RM3.3 bilion, jumlah faedahnya adalah RM107 juta.

“Saya harap perkara ini jelas. Dan saya harap pemimpin pembangkang tidak berterusan memutar belit perkara ini dan menipu penyokong mereka,” katanya.

- mD

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-