Monday, April 23, 2018

Lepas Malaysiakini, RTM pula 'salah tafsir' PAS


Setiausaha Akhbar Presiden PAS Abdul Malik Abdul Razak menyifatkan RTM salah tafsir kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Malik merujuk kepada berita RTM TV1 yang menurutnya menyebut bahawa ‘PAS sedia bergabung dengan BN bentuk kerajaan persekutuan’.

"Dalam sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PAS Sarawak PRU14 di pejabat Badan Perhubungan PAS Sarawak semalam, 21 April 2018, presiden PAS menjelaskan bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan meletakkan syarat Islam.

"Sekiranya BN dan HARAPAN tidak menerima syarat tersebut, PAS terus menjadi pembangkang. Jika semuanya menerima syarat, PAS akan bekerjasama membentuk gagasan perpaduan rakyat tanpa pembangkang.

"Oleh itu, tajuk yang diletakkan dengan mengkhususkan kerjasama dengan BN sahaja adalah salah tafsir dan tidak tepat," katanya dalam kenyataan media yang disiarkan Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini, PAS juga mendakwa Malaysiakini salah tafsir maksud Abdul Hadi dalam laporan berhubung isu baiah parti itu.

Dalam laporan itu, Malaysiakini memetik Berita Harian melaporkan bahawa PAS akan mengekalkan baiah taklik di Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-