Saturday, April 7, 2018

Najib umum BR1M naik sekali ganda

BERITA


MANIFESTO BN | Datuk Seri Najib Razak malam ini mengumumkan agihan BR1M seterusnya bagi tahun ini akan dinaikkan sehingga sekali ganda.

Najib yang juga merupakan pengerusi BN berkata demikian ketika mengumumkan manifesto parti itu di Stadium Bukit Jalil.

Presiden Umno itu berkata, hal ini dapat dilakukan kerana kewangan negara yang semakin kukuh.

"Disebabkan ekonomi kita semakin baik, dan kedudukan kewangan semakin kukuh, hasil kutipan GST pun bertambah - meski dikutuk pembangkang - maka kerajaan BN dapat berkongsi dengan rakyat," katanya.

Najib menjelaskan bahawa bagi isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan, yang sudah mendapat agihan BR1M sebanyak RM400 Feb lalu, akan mendapat dua agihan seterusnya pada Jun dan Ogos masing-masing RM800.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan pemberian BR1M meningkat dari RM1,200 kepada RM2,000," katanya.

Sementara bagi isi rumah dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, agihan pada Jun dan Ogos itu adalah masing-masing sebanyak RM600 berbanding RM300 sebelum ini.

Bagi golongan muda dengan gaji bulanan di bawah RM2,000 yang sudah menerima RM150 pada Februari lalu, jumlah agihan BR1M seterusnya pada Jun adalah sebanyak RM450.

Najib turut mengumumkan kategori baru penerima BR1M, iaitu bagi isi rumah dengan pendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang sebelum ini tidak layak menerima bantuan.

"Kumpulan ini akan menerima BR1M RM700 yang akan diagihkan dua kali iaitu masing-masing RM350 pada Jun dan Ogos," katanya.

Selain itu, Najib turut mengumumkan bahawa anak penerima BR1M yang mendaftar kemasukan universiti akan menerima bantuan RM1,500.

Pelancaran manifesto BN hari ini bersamaan dengan pembubaran parlimen yang diumumkan oleh Najib semalam. Pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-