Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, April 22, 2018

Pas terbuka bekerjasama dengan syarat

MOHD HAFIZ ISMAIL
22 APRIL 2018
SHAH ALAM - Laporan media mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kesediaan parti untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai tidak tepat.

Setiausaha Akhbar Presiden Pas, Abdul Malik Ab Razak berkata, merujuk kepada laporan salah sebuah stesen televisyen tempatan yang menyebut Pas sedia bergabung dengan BN bentuk kerajaan Persekutuan telah disalah tafsir daripada maksud sebenar Abdul Hadi.

“Dalam sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Sarawak PRU14 di Badan Perhubungan Pas Sarawak semalam, 21 April 2018, Presiden Pas menjelaskan bahawa parti itu bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada BN atau Pakatan Harapan (Harapan) dengan meletakkan syarat Islam.

“Sekiranya BN dan Harapan tidak menerima syarat tersebut, Pas terus menjadi pembangkang. Jika semuanya menerima syarat, Pas akan bekerjasama membentuk gagasan perpaduan rakyat tanpa pembangkang. Oleh itu, tajuk yang diletakkan dengan mengkhususkan kerjasama dengan BN sahaja adalah salah tafsir dan tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.