Wednesday, April 18, 2018

Pelepasan GST: Bagaimana dengan projek awam tempatan?


Kerajaan sepatutnya memberikan pelepasan GST kepada kerajaan negeri dan syarikat yang terlibat dengan projek membabitkan kepentingan awam seperti yang dinikmati China Communications Construction Company (CCCC), kata penyandang Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Beliau merujuk penjelasan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy semalam berhubung pelepasan GST yang diberikan kepada kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dari China itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Subromaniam berkata pelepasan diberikan kerana ECRL merupakan projek melibatkan dua kerajaan - Malaysia dan China - yang membabitkan kepentingan awam.

Berdasarkan sebab itu, Sim berkata, kerajaan juga patut memberikan pelepasan sama kepada pihak dalam negara misalnya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pastinya melibatkan kepentingan awam.

"Dengan alasan sama, kerajaan pusat juga patut memberikan pelepasan GST kepada projek-projek perumahan mampu milik," katanya (gambar) dalam kenyataan hari ini.
Namun, katanya lagi, ia tidak berlaku kerana syarikat tempatan dan kerajaan negeri terus menanggung GST di saat syarikat asing diberikan pengecualian.

Subromaniam berkata pelepasan GST diberikan agar dapat mengurangkan kos ECRL seterusnya membolehkan projek itu dilaksanakan dengan berjaya dan memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To pula berkata, pelepasan cukai GST untuk mengelakkan proses tidak perlu serta perbelanjaan bertindih.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan adalah pelanggan dalam projek itu, maka jika GST tetap dikutip ia bermakna kerajaan adalah pihak pembayar dan juga penerima cukai itu.

Tambahan pula, katanya lagi, projek itu dibiayai oleh pinjaman mudah yang dibuat kerajaan dan jumlah pinjaman dan faedah akan meningkat jika bayaran GST termasuk dalam pinjaman itu.
Sementara itu, penyandang DUN Bukit Tunku Lau Weng San (gambar) juga menggesa kerajaan memberi pelepasan GST dalam pemerolehan dan perkhidmatan oleh kesemua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Eric patut melihat logik sama dalam perkhidmatan yang diberikan kerajaan negeri dan tempatan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa pihak berkuasa tempatan di Selangor yang sentiasa membayar GST kemudiannya terpaksa menunggu untuk mendapatkan pembayaran balik (refund).

"Ini secara tidak perlu telah memberi kesan kepada operasi pihak berkuasa tempatan di Malaysia," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-