Monday, April 30, 2018

Pensyarah: Nik Omar runtuhkan doktrin PAS

N Faizal Ghazali


PRU14 |  Penyertaan Nik Omar Nik Abdul Aziz dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat bakal memecahkam doktrin Islam yang sebelum ini sinonim dengan parti PAS, kata penganalisis politik.

Menurut Dr Mazlan Ali, di kalangan orang Melayu yang proislam atau mempunyai cita-cita Islam, kini mereka mula berfikir sama ada cara bagi menjayakan apa yang diingini hanya boleh dicapai melalui PAS semata-mata, atau ada pilihan lain.

Katanya, orang mula melihat Parti Amanah Negara (AMANAH) juga sebenarnya sebuah wadah yang membawa cita-cita Islam. Cuma kata Mazlan, keyakinan mereka AMANAH belum cukup setanding dengan PAS.

"Tak kurang juga ada yang masih terikat dengan dokrin bahawa hanya PAS bawa Islam, yang lain - temasuk AMANAH - tidak membawa agenda Islam.

"Apabila Nik Omar, seorang anak yang rapat dengan arwah Tok Guru memilih HARAPAN, bermakna doktrin kononnya hanya PAS membawa Islam, sudah pecah," katanya ketika berkongsi pendapat dengan Malaysiakini berhubung kemunculan anak kedua bekas menteri besar Kelantan itu.

Wujud gelombang kedua

Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tindakan Nik Omar menjadi calon di DUN Chempaka mewujudkan gelombang kedua pengundi Melayu untuk HARAPAN.

"Nik Omar telah menghapuskan keraguan yang lama bersarang, yang menakutkan mereka memilih parti selain PAS.

"Jika orang sealim Nik Omar boleh masuk AMANAH, maka siapa yang lain-lain?

"Gelombang Nik Omar itulah akan bergabung dengan gelombang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecahkan tembok Melayu luar bandar selama ini menghalang pakatan pembangkang," jelasnya.

Tambah Mazlan, pola penggabungan ini mula dilihat dimanfaatkan HARAPAN apabila beberapa himpunan sudah mula dirancang bagi menggabungkan Dr Mahathir dan Nik Omar.

"Saya percaya tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara terhadap orang yang proislam tetapi waswas sama ada boleh atau tidak mengundi AMANAH selain PAS atau tidak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-