Saturday, April 28, 2018

Pertandingan Tiga Penjuru Atau Lebih Kelebihan Buat BN Selangor

SHAH ALAM – Pertandingan tiga penjuru atau lebih di semua 22 kerusi Parlimen dan 52 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), memberi petanda awal bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan cerah untuk merampas semula negeri ini daripada pakatan pembangkang atau sekurang-kurangnya menambah kerusi.

BN Selangor sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa parti itu boleh memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN berbanding 12 kerusi yang dimenangi pada PRU13 selain menambah lima lagi kerusi Parlimen berbanding lima kerusi sebelum ini.

Jika dilihat pada keputusan PRU13, kawasan-kawasan yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru atau lebih seperti DUN Kota Damansara dan DUN Semenyih ternyata memberi kelebihan kepada calon BN.

Bagi PRU14, hanya empat kawasan DUN menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon BN dengan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR iaitu di Seri Kembangan, Kampung Tunku, Bukit Lanjan dan Bandar Baru Klang.

Selain itu, kekuatan parti komponen dalam PH, khususnya PPBM yang masih diragui turut memberi kelebihan kepada BN lebih-lebih lagi apabila berlaku pertukaran calon PPBM di empat kerusi DUN iaitu Jeram, Kuang, Semenyih dan Sijangkang dan dua kerusi Parlimen iaitu Sabak Bernam dan Sungai Besar ketika penamaan calon hari ini.

Pertukaran itu memperlihatkan bahawa parti serpihan UMNO itu masih belum yakin dengan calon-calon yang diketengahkan apatah lagi yakin untuk menang di kawasan-kawasan yang sebelum ini dimenangi oleh UMNO.

Seperti PRU13, Parlimen Tanjong Karang dilihat akan kekal menjadi kubu kuat BN apabila penyandangnya Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi BN Selangor dijangka tidak berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi itu untuk penggal keenam, di mana beliau bakal dicabar calon PPBM Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dan calon PAS Nor Az Azlan Ahmad.

Dua DUN di bawah Parlimen itu, iaitu Sungai Burong dan Permatang turut mempunyai peluang besar untuk kekal di tangan BN berikutan kedua-dua penyandangnya, Datuk Mohd Samsudin Lias (Sungai Burong) dan Datuk Sulaiman Abdul Razak (Permatang) rajin turun padang dan disenangi oleh pengundi di kawasan masing-masing.

Presiden Amanah Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pula mencuba nasib di kerusi Parlimen Kota Raja pada pilihan raya umum kali ini selepas tewas berturut-turut dalam tiga PRU yang lepas, dengan yang terakhir di Parlimen Pendang pada PRU13, dan beliau bakal dicabar calon BN V. Gunalan dan calon PAS Mohamed Diah Baharun.

Banyak pihak melihat keputusannya bertanding di Kota Raja kerana kawasan itu dianggap ‘selamat’ untuk Amanah berikutan kemenangan besar bekas anggota Parlimennya, Dr Siti Mariah Mahmud pada PRU13, manakala Dr Siti Mariah pula ‘terpaksa berkorban’ dengan bertanding di DUN Seri Serdang pada pilihan raya umum kali ini.

PRU14 di Selangor juga sudah pasti bertambah menarik dengan ‘pertarungan’ dua beradik yang telah lama bermusuh iaitu Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan selebriti kontroversi Mohamed Azwan Ali di DUN Bukit Antarabangsa.

Meskipun Mohamed Azmin tidak menunjukkan sebarang kebimbangan dengan tindakan nekad adiknya untuk mencabar beliau pada PRU14, namun kemunculan figura yang terkenal dengan mulut laser itu sudah pasti tidak boleh dipandang ringan dan sedikit sebanyak mampu mencalar imej Timbalan Presiden PKR itu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan yang sebelum ini dimenangi Naib Presiden parti itu, Mohd Rafizi Ramli dan beliau bakal dicabar empat calon lain dari PAS, BN, PRM dan Bebas.

Selangor merekodkan jumlah pemilih berdaftar paling tinggi iaitu 2,415,074 orang yang layak mengundi pada PRU14, 9 Mei ini.

Seramai 2,388,614 pengundi merupakan pemilih biasa, pengundi awal tentera, polis dan pasangan (25,462) serta pengundi tidak hadir luar negara (998).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-