Wednesday, April 25, 2018

Puad pertikai kenyataan Zahid


PRU14 | Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menzahirkan rasa dukacita beliau dengan kenyataan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi semalam yang mengulas keputusan parti itu tidak meletakkan Puad sebagai calon di Batu Pahat pada pilihan raya umum ini.

"Saya amat dukacita terhadap komen TPM (Zahid) bahawa keadaan di Parlimen Batu Pahat adalah semakin parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan terhadap BN.

"Ia menidakkan kejayaan Umno Batu Pahat menambah keahlian baru dan antara bahagian yang tertinggi menambah jumlah pemilih baru di Johor.

"Justeru saya mempertikaikan kredibiliti metodologi penilaian yang beliau gunakan," kata Puad dalam suatu hantaran Facebook malam ini.

'Calon kontroversi isu moral peribadi'

Tanpa menyebut nama, Puad bertanyakan Zahid jika meletakkan "seorang calon kontoversi" berkait isu moral peribadi boleh menjamin kemenangan BN.

"Saya ingin bertanya kepada TPM (Zahid), apakah dengan meletakkan seorang calon kontroversi yang dikaitkan dengan isu moral peribadi boleh menjamin kemenangan?

"Dan apakah dengan meletakkan seorang lagi calon yang selama lima tahun tidak membantu bahagian dalam menjaga parti, memulaukan Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian selama lima tahun berturut turut dan lain lain adalah wajar?"

"Di mana hebatnya kaedah penilaian beliau?" Soal ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu.
Puad menjelaskan beliau tidak merajuk kerana tidak menjadi calon, selain memberi amaran untuk tidak menjadikan pemilihan calon PRU14 sebagai agenda persiapan menghadapi pemilihan parti Umno.

"Ini bukan soal merajuk.

"Jangan jadikan pemilihan calon pilihanraya sebagai agenda persiapan untuk menghadapi pemilihan parti. Buruk padahnya," tegas beliau.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan dari tangan PKR.

Puad pernah menjadi anggota parlimen Batu Pahat selepas menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,968 undi pada 2008 ketika PRU-12.

Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU13 selepas tewas dengan calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi yang menang dengan majoriti 1,524 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-