Monday, April 30, 2018

'Satu kesalahan bagi SPR keluarkan gambar Mahathir’

Hafiz Yatim


Peguam kanan Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh dianggap melakukan satu kesalahan dengan membuang gambar Tun Dr Mahathir Mohamad daripada sepanduk atau poster yang dinaikkan sebagai bahan kempen pilihan raya.

Beliau berkata pada 7 Januari lalu, Pakatan Harapan mengumumkan bahawa Mahathir selaku pengerusi gabungan pembangkang itu akan dilantik sebagai perdana menteri jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 dan ini diisytiharkan dalam manifesto pilihan raya.

Haniff berkata apa-apa dalam manifesto boleh diterbitkan seperti yang termaktub dalam peraturan-peraturan Tatatertib Pilihan Raya dan memandangkan bahawa Mahathir diumumkan sebagai calon perdana menteri HARAPAN, maka gambarnya boleh digunakan.
"Tindakan oleh SPR dan sebuah majlis tempatan untuk mengeluarkan gambar Mahathir dan gambar calon-calon lain di Johor adalah salah.

“Gambar dan foto Mahathir boleh digunakan di sepandung dan poster untuk PRU14.

"Tiada undang-undang yang melarang ini," katanya.

Haniff mengulas kejadian di Ayer Hitam, Johor, hari ini, di mana pihak berkuasa mengeluarkan gambar Dr Mahathir dari papan iklan selepas ia dinaikkan.

Calon HARAPAN bagi kerusi Ayer Hitam, Liew Chin Tong berkata, mereka dimaklumkan bahawa papan iklan berkenaan tidak boleh mempunyai gambar Mahathir dan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya adalah supaya gambar Mahathir dipotong.

Selain itu, Liew yang juga adalah pengerusi DAP Johor berkata SPR juga mengarahkan supaya mengeluarkan atau tidak menaikkan semua poster, sepanduk atau kain rentang yang menampilkan gambar Mahathir.

Menurut garis panduan baru SPR yang diperkenalkan khusus untuk PRU14, seseorang calon hanya boleh menampilkan gambar dua pemimpin parti politik - presiden dan timbalan presiden, atau mereka yang setaraf - pada bahan kempen, selain foto calon berkenaan.
Bagi kedua-dua pemimpin kanan itu pula, mereka mestilah dari parti yang diwakili oleh calon tersebut. Foto pemimpin lain dilarang sama sekali.

Tindakan itu dipercayai bagi menghalang gambar Dr Mahathir digunakan kerana kewibawaan bekas perdana menteri itu dikatakan mampu menarik sokongan pengundi Melayu dan akan menjejaskan peluang BN dan pentadbiran Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak untuk terus berkuasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-