Saturday, April 28, 2018

Shahrizat tak bertanding, bantu jentera BN

Bernama
April 27, 2018

Ketua Wanita BN itu berkata keputusan itu dibuat 2 bulan lepas selepas berbincang dengan Najib.

Shahrizat Jalil berkata beliau berpuas hati dengan jumlah calon wanita BN untuk PRU14 iaitu 11.7% daripada jumlah kerusi dipertandingkan. (Gambar Facebook)

MUAR: Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau akan “pusing” 1 Malaysia bagi membantu BN memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Shahrizat yang juga ketua pergerakan Wanita Umno berkata keputusan untuk tidak bertanding pada PRU14 diambilnya 2 bulan lepas dan dibincangkan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

“Dan bila Datuk Seri Najib tanya kenapa tidak mahu bertanding saya kata untuk PRU kali ini amat mustahak jentera untuk membawa kemenangan kepada BN.

“Jadi saya rasa keutamaan saya adalah untuk pusing satu Malaysia, nak jumpa dengan jentera, nak jumpa calon wanita untuk tentukan kita (BN) menang. Jadi, saya buat keputusan saya tidak mau bertanding kali ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis doa selamat dan bacaan Yasin di kediaman calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Datuk Noriah Mahat, hari ini.

Sementara itu, katanya beliau berpuas hati dengan jumlah calon wanita BN untuk PRU14 iaitu 11.7% daripada jumlah kerusi dipertandingkan yang mencatatkan peningkatan berbanding 9.9% calon wanita pada PRU13.

“30% (calon wanita) adalah sasaran sahaja. Tidak mudah untuk memilih calon untuk PRU kali ini. Dan ini saya rasakan adalah pilihan terbaik. KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita tercapai kerana ada peningkatan calon berbanding yang lalu,” katanya.

Pada kali ini, 85 orang calon wanita diamanahkan BN untuk memikul tanggungjawab dalam PRU14 dan menurut Shahrizat, ini tidak termasuk kerusi DUN Sarawak yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri pada tahun 2016.

“Seramai 26 orang calon wanita BN akan dipertaruhkan bagi kerusi Parlimen dan 59 lagi di peringkat DUN. Peningkatan 15 orang calon wanita BN pada PRU14 kali ini berbanding PRU13 membuktikan BN komited untuk memperkasakan kedudukan wanita dalam semua sektor termasuklah dalam bidang politik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, 49 orang atau 57.6% calon wanita juga merupakan muka baharu dan 36 orang lagi calon dipertandingkan semula.

Katanya kombinasi calon lama dan baharu ini membuktikan BN sentiasa membuka ruang kepada pembaharuan tanpa mengetepikan faktor pengalaman dalam memformulasi kemenangan BN dalam PRU14 ini.

Daripada 85 calon wanita BN pada PRU14 ini, 52 adalah daripada pergerakan Wanita, Puteri dan Bahagian Umno dan selebihnya daripada MCA, MIC, Gerakan, PBB, PBS, SUPP, LDP dan PRS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-