Tuesday, May 22, 2018

'1MDB, projek mega sumbang hutang negara RM1 trilion'

Bernama
Diterbitkan 22 Mei 2018, 10:43 malam


Menteri Kewangan yang baru dilantik, Lim Guan Eng hari ini mengesahkan hutang negara melebihi RM1 trilion dengan faktor penyumbang termasuk hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan projek mega yang diluluskan kerajaan pimpinan sebelum ini.

Beliau berkata angka hutang RM1 trilion itu akan dinilai semula sebaik sahaja pelbagai jabatan menyatukan akaun masing-masing kerana sebelum ini terdapat fail dan laporan tidak dapat diakses.

“Ya, saya mengesahkan kenyataan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hutang negara melebihi RM1 trilion.

“Jumlah itu adalah jauh lebih tinggi berbanding yang dimaklumkan oleh kerajaan terdahulu...1MDB​​​​​​​ merupakan faktor utama, namun sekali lagi, saya berpendapat beberapa maklumat ini tidak dimaklumkan sepenuhnya.

“Kini, kita mahu semuanya terbuka,” katanya semasa sidang media di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata arahan telah diberikan untuk memastikan semua akaun dapat diakses oleh pegawai Perbendaharaan dan Jabatan Audit Negara.

Lim juga bersetuju dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa projek​​​​​​​ mega kerajaan sebelum ini menyumbang kepada hutang negara dan oleh yang demikian kerajaan akan mengkaji semula daya maju projek berkenaan.

Mengenai pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata kerajaan akan menggantikan​​​​​​​ Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan SST secepat mungkin.

“Sudah tentu ia akan dibuat tahun ini juga tetapi biar kami melaksanakannya secara teliti sebelum​​​​​​​ memberikan tarikh tepat kepada anda,” katanya.

Bagi kadar SST, beliau berkata ia akan berdasarkan manifesto Pakatan Harapan iaitu menggunakan kadar sebelum ini iaitu 10 peratus.

Berkenaan kedudukan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Lim berkata pengumuman akan dibuat selepas perbincangan dengan perdana menteri.

Pada 14 Mei, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan memutuskan untuk​​​​​​​ memendekkan kontrak perkhidmatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan​​​​​​​ Serigar​​​​​​​ Abdullah kepada 14 Jun, 2018.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-