Wednesday, May 2, 2018

Anwar gay? Saya tak pernah periksa, kata Dr M


Perbalahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas anak didiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjadi perbualan di seluruh dunia dua dekad lalu.

Sekarang, selepas dua dekad perkara itu berlalu ia masih menjadi tajuk utama media antarabangsa.

Dalam temu bual dengan The Guardian, bekas perdana menteri itu ditanya tentang pendapatnya mengenai orientasi seks Anwar.

Ditanya sama ada beliau masih percaya Anwar seorang gay, Mahathir menjawab: "Itulah apa yang dikatakan polis kepada saya."

"Saya tak periksa dia, tetapi saya bergantung kepada polis dan saya perlu menerima bukti mereka," katanya.

Mengenai sama ada Anwar layak dipenjarakan, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata beliau jelas mengenai perkara itu.

"Saya seorang muslim, kita tidak menerimanya. Anda boleh menjadi liberal dan menerima perkahwinan sejenis dan seumpamanya, tapi itu urusan kamu. Kami adalah orang yang kolot," katanya.
Anwar dipecat oleh Mahathir dari jawatan timbalan perdana menteri 1998 kerana didakwa memiliki masalah moral.

Beliau kemudian dipenjarakan atas tuduhan salahguna kuasa tetapi dibebaskan atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadinya pada 2004.

Selepas dibebaskan beberapa tahun kemudian, Anwar kembali semula ke arena politik ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 2008, beliau sekali lagi menghadapi tuduhan sama, apabila didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan - beberapa bulan selepas pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-12.

Dalam kes kedua itu, Anwar didapati bersalah dan menjalani hukuman penjara selama lima tahun.

Beliau dijangka dibebaskan pada 8 Jun tahun ini.

Bekas ketua pembangkang itu bagaimanapun menegaskan tuduhan terhadapnya sejak 1998 bermotifkan politik.

Penyokong dan organisasi hak asasi manusia di seluruh dunia menggambarkan Anwar sebagai seorang tahanan hati nurani.

Dua tahun lepas, Mahathir dan Anwar berdamai selepas berpendapat mereka perlu bergabung untuk menyelamatkan negara daripada pentadbiran Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Anwar menyifatkan pemenjaraannya ketika era Mahathir sebagai luka kecil dan masa depan negara lebih penting berbanding dirinya sendiri.

Dalam sebuah ceramah baru-baru ini, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyentuh pengalaman pernah ditempuhi suaminya itu pada tahun 1998.


Tanpa menyebut nama Mahathir, Wan Azizah mengimbas kembali kejadian polis menyerbu kediaman mereka di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, dan bagaimana beliau pergi ke ibu pejabat polis bagi merayu pihak berkuasa agar tidak mencederakan suaminya.

Wan Azizah turut mengimbas insiden Anwar diserang Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika itu dan menyamakan mata lebam suaminya dengan simbol PKR.

Logo itu kini digunakan oleh semua calon HARAPAN, termasuk Mahathir sendiri yang kini mengetuai pembangkang dan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-