Monday, May 7, 2018

BN, PAS mungkin bentuk kerajaan campuran Selangor - Khalid Ibrahim

Oleh Rohaniza Idris dan Siti Azila Alias
cnews@nstp.com.my
Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Dengan tempoh kempen berbaki dua hari lagi, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meramalkan Barisan Nasional (BN) dan PAS akan membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi peringkat parlimen pula, beliau meramalkan BN akan terus membentuk Kerajaan Persekutuan walaupun beberapa negeri dijangka 'bertukar tangan'.

"Saya kini berkempen untuk PAS, jadi saya jangka di Selangor kemungkinan berlaku kerajaan campuran antara PAS dan BN," katanya kepada NSTP hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut mengenai ramalannya itu.

Sementara itu, Abdul Khalid juga mendedahkan ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor, kepemimpinan PKR ketika itu mahu menggunakan wang kerajaan negeri untuk membiayai program parti termasuk membayar upah kumpulan yang membuat rusuhan jalanan untuk membantah projek pembangunan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, beliau tidak dapat menerima alasan itu kerana ia tidak memberi sebarang nilai tambah kepada Kerajaan Negeri walaupun ada yang menyatakan tindakan itu (rusuhan) satu bentuk promosi untuk parti.

"Saya tidak boleh terima mana-mana program yang boleh membantutkan pembangunan kerana ia hanya merugikan rakyat Selangor. Itu sebab, saya disingkirkan kerana mempunyai pemikiran bahawa saya perlu menjadi pengurus negeri yang pemiliknya adalah rakyat Selangor bukannya parti.

"Jadi apa pun saya lakukan adalah demi kepentingan rakyat Selangor dan tidak ada salahnya menggunakan duit kerajaan negeri untuk rakyat dan bukan kepentingan parti.

"Saya kena bersikap amanah dan bertanggungjawab berbanding memikirkan untuk menang pilihan raya dengan menuduh pihak lawan kucar kacir.Ini bukan satu bentuk politik yang matang," katanya.

Keputusannya itu, katanya adalah kerana beliau tidak mahu dikenang sebagai Menteri Besar yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab.

"Apa yang paling penting pada saya adalah tata cara dan dilakukan dalam keadaan yang adil dan berhemah. Saya nampak politik yang dilakukan PKR adalah tidak betul," katanya.

Beliau turut mempertikaikan cara Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyelesaikan isu air dan tanah di Selangor yang disifatkannya tindakan yang bertangguh yang dipercayai ada kaitan dengan pembiayaan dana parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-