Friday, May 4, 2018

'Bukan salah BN, barang dah naik sejak zaman Jepun'

Anne Muhammad 
Diterbitkan 4 Mei 2018, 8:47 malam

PRU14 | Calon BN Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata BN tidak boleh dipersalahkan berkaitan kenaikan kos harga barangan yang meningkat setiap tahun kerana perkara itu juga berlaku di tempat lain sejak zaman Jepun.

Nawawi berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan pengundi daerah berkaitan kenaikan kos sara hidup di pulau pelancongan itu.

“(Kenaikan) yang itu di mana-mana, harga kos barang bukan sahaja hari ini tapi sejak zaman Jepun kos sentiasa meningkat.

“Ia bukan kerana parti tapi faktor ekonomi, formula ekonomi begitu. Tiap-tiap tahun harga akan naik, gaji akan naik, pendapatan juga akan naik, mana ada barang turun harga, yang tu rakyat dah faham,” katanya pada Majlis Helang, Hebatkan Langkawi anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Telaga Walk, Jalan Pantai Chenang, Langkawi, hari ini.

Nawawi sebelum itu menggesa pengundi di Langkawi memilih parti yang boleh memajukan negeri tersebut dan bukannya berdasarkan personaliti.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, Langkawi bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Nawawi dan Zubir Ahmad dari PAS.

Nawawi sendiri mengakui terdapat pengundi di Langkawi yang memilih calon kerana sayangkan Dr Mahathir berbanding BN yang mahu membangunkan daerah itu.

“Yang penting kena pilih parti kerana parti yang bawa ke arah lebih baik. Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dia tak boleh buat apa. Calon yang ada dah berumur berbanding calon yang kita ada.

“Kalau nak pilih, pilihlah orang boleh buat kerja, kena ada tenaga dan kena ada masa,” katanya.

Nawawi juga berpesan agar rakyat Langkawi lebih mengutamakan masa depan pulau itu berbanding sentimen terhadap Dr Mahathir.

“Walaupun kita sayang Tun tapi sayang tu hendaklah sebagai seorang manusia. Tapi sayang kita, mestilah pada masa depan Langkawi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-