5 MEI 2018
MUAR- "Alhamdulillah," itu respons bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ketika ditanya berhubung pemecatan beliau sebagai ahli Umno yang diumumkan sebentar tadi.
Ujar Daim, keputusan itu adalah langkah terbaik buat dirinya setelah mengakui tidak mampu lagi bertahan bersama pihak terbabit.
"Daripada dulu memang dah bersimpang siur. Tapi bila Tian Chua yang merupakan penyandang Parlimen Batu tak dibenarkan bertanding dan calon PKR Rantau (Dr S Steram) tak dibenarkan masuk, saya rasa dah cukuplah.
"Saya tak boleh terima keadaan ni, ia dah peluang terakhir. Sebelum ini memanglah ada silap, tapi bila isu 1MDB kita beri nasihat tak nak dengar dan macam-macam lagi kita tegur tak diendahkan, kita rasa sudah sampailah masanya," katanya ketika ditemui.
Beliau sebelum itu ditemui selepas hadir pada sesi Dialog Tun Daim Bersama Pengundi Muar, di Kampung Parit Yusof, di sini, sebentar tadi yang turut dihadiri calon Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sambil menyelar Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar, Daim turut menyarankan agar Umno bertanding atas rekod kecemerlangannya selepas lebih 60 tahun mentadbir negara.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai surat pemecatan beliau ketika ini, Daim berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan bertulis sambil mengakui hanya mengetahui hal terbabit melalui berita yang disebarkan.
Terbaharu, Umno secara rasminya memecat pemimpin veteran yang lantang mengkritik parti itu iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz.
Manakala berdasarkan maklumat awal, kedudukan seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim sehingga kini masih disiasat.
Sebelum ini, ketiga-tiga mereka secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan yang diketuai bekas ketua mereka di dalam kerajaan dahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.