Thursday, May 3, 2018

Dong Zong hargai pengiktirafan sijil UEC dalam manifesto BN


Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) telah menzahirkan penghargaan kepada Barisan Nasional (BN) kerana menyenaraikan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina dalam manifesto BN.

Pengerusinya, Datuk Vincent Lau Lee Ming, berkata mereka telah cuba mendapatkan pengiktirafan itu selama hampir 43 tahun dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

"Kami berharap selepas pilihan raya umum ini, pengiktirafan sijil UEC akan direalisasikan,” katanya pada sidang media selepas majlis jamuan tengah hari tertutup bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana, di Putrajaya semalam.

Hadir sama, 20 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina.

Dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN mengiktiraf sijil UEC untuk memasuki universiti tempatan dengan syarat mereka mendapat kepujian bagi subjek Bahasa Malaysia dan lulus Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengenai sekolah vernakular, Lau berkata persatuannya juga berpuas hati dengan sokongan dan bantuan kerajaan pimpinan Najib.

"Sebagai negara berbilang kaum, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang sederhana serta pemimpin yang mempunyai aspirasi untuk menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

“Ini akan memastikan semua kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni dan kami akan terus membantu masyarakat untuk maju...ini adalah sebuah kerajaan yang semua kaum inginkan,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-